[VIDEO] ‘Datuk’ samseng mohon maaf atas tindakan menyerang pelanggan di restoran

Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk memohon maaf kerana terbabit dalam serangan ke atas dua pelanggan di sebuah restoran Selasa lalu.

Lelaki itu yang menggelarkan diri sebagai “Datuk Tan” dalam video berdurasi 2 minit 10 saat, mengaku tindakannya bersama seorang lagi rakan tidak wajar dan melampaui batas.

“Ketika itu, saya dan rakan saya, berada dalam keadaan tidak rasional. Lalu saya rasa sangat marah kerana merasakan maruah saya, sebagai orang lebih berusia, ditegur pemuda tersebut. Kejadian menjadi semakin teruk apabila rakan saya menyangka saya dipukul pemuda tersebut.

“Lalu dia pun bertindak menampar pemuda tersebut. Kemudian, pergaduhan menjadi semakin teruk dan saya menjadi semakin tidak terkawal, lalu tertampar pemuda tersebut. Saya menyesal atas tindakan berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, kedua-dua lelaki itu menyerah diri di Balai Polis Mutiara Damansara pada 2 petang Khamis lalu dan polis mendapatkan perintah reman pada Jumaat untuk menahan mereka.

Mahkamah Majistret bagaimanapun menolak permohonan polis untuk menyambung perintah reman ke atas dua ahli perniagaan yang terbabit dalam serangan terhadap dua pelanggan di sebuah restoran itu.

Kejadian di sebuah restoran di Tropicana Avenue itu berlaku beberapa jam sebelum perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan Rabu lalu. Serangan itu mencetuskan kemarahan rakyat selepas dua klip video tersebar di media sosial.

Kejadian itu berlaku selepas seorang pemuda menegur “Datuk” berkenaan dan rakannya supaya merendahkan suara mereka.

Jelas Datuk itu lagi, ketika kejadian, dia dan rakannya sudah mabuk dan turut memaklumkan kesediaannya menerima apa sahaja hukuman oleh mahkamah.

Beliau berharap semua pihak tidak mengaitkan keluarganya atas insiden itu.

“Saya harap anda semua tidak libatkan keluarga saya dalam hal ini kerana kejadian ini berlaku atas tanggungjawab kami sendiri. Adalah tidak wajar kita libatkan orang yang tidak ada kena mengena dalam hal ini. Saya juga berharap perkara ini tidak lagi dipanjangkan,” katanya. FMT

https://mykmu.net/2017/06/03/sivarasa-kamu-telah-melampaui-batas-sultan-selangor/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker