Kaji semula had waktu perniagaan makanan – PPIM
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak kerajaan mengkaji semula waktu operasi penjualan makanan ke waktu yang lebih munasabah, sekurang-kurangnya hingga jam 10 malam.
Menurut kenyataan PPIM, pihaknya dihujani rungutan dari peniaga dan pengguna berikutan masa yang begitu ‘menyusahkan’ hampir semua pihak ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Mereka yang bekerja sehingga jam 8 malam mendakwa sudah tidak boleh beli makanan di kebanyakan pusat-pusat makanan dan penghantar makanan tidak lagi mampu untuk mengambil apa-apa pesanan lagi.
“Jika mereka memesan melalui portal Grabfood, Food Panda atau lain-lain, had waktu untuk semua pesanan adalah setengah jam lebih awal iaitu jam 7:30 kerana ‘riders’ dikehendaki memasukkan wang ke dalam akaun syarikat pada waktu itu.
“Para peniaga khususnya yang berniaga pada lewat petang dan malam merasakan adalah tidak berbaloi untuk memulakan perniagaan pada jam 5 petang dan terpaksa tutup pula pada jam 7.30 malam,” katanya.
PPIM berkata, kebanyakan restoran mengadu jualan mereka meleset sehingga 70-80 peratus sejak PKP 2.0 dilaksanakan.
Ujarnya, peniaga yang mula bangkit dari kesan PKP 1.0 dahulu kini terpaksa mengkaji untuk menutup perniagaan jika had masa beroperasi seperti sekarang berterusan.
“Kesan penyusutan ini juga akan mengakibatkan majikan terpaksa mengambil keputusan untuk memberhentikan pekerja mereka, khususnya dari kalangan warga tempatan.
“Ramai juga terutama yang masih bujang dan tinggal beramai-ramai di pangsapuri kos rendah mempunyai kesulitan untuk makan di rumah dengan keadaan yang sempit dan tidak teratur memandangkan kelaziman waktu makan yang berlainan,” katanya.
Sementara itu, PPIM mencadangkan kerajaan melanjutkan waktu operasi kedai makan sekurang-kurangnya kepada jam 10 malam selain mengkaji semula kebenaran makan dalam kedai makan.
“Kita juga gesa pihak pembekal khidmat penghantaran meminda peraturan yang menghendaki semua penghantar makanan memasukkan wang jualan pada masa yang lebih sesuai.
“Mereka juga berpeluang untuk menambah pendapatan mereka demi menyara keluarga kerana ramai hanya bergantung kepada sumber ini sahaja setelah kebanyakan mereka kehilangan punca pendapatan akibat pandemik ini,” jelasnya. MG
PPIM minta kementerian jawab isu vaksin Covid-19 PPIM minta kementerian jawab isu vaksin Covid-19