Lelaki cuba selamatkan wanita hanyut
KUCHING – Seorang lelaki dipercayai hilang setelah mencuba untuk menyelamatkan teman wanitanya yang terjun ke dalam sebuah sungai berdekatan Kubah Ria Food Court di sini hari ini.
Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi, berlaku pertengkaran antara pasangan terbabit sebelum wanita itu terjun ke dalam sungai.
“Lelaki itu kemudian cuba menyelamatkan wanita terbabit, namun kedua-duanya dihanyutkan arus sungai yang deras,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Kejadian tersebut turut dirakam dalam satu video yang berdurasi 31 saat oleh seorang saksi di lokasi, menunjukkan kedua-dua mangsa sedang hanyut dibawa arus sungai berkenaan.
Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya telah dikerahkan ke lokasi setelah satu panggilan kecemasan diterima pada pukul 12.57 tengah hari.
Setibanya di lokasi, Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Azaharul Sahari, melaporkan bahawa wanita tersebut telah berjaya diselamatkan.
Mangsa dikenal pasti sebagai Zai Erni Zainalabidin, 27.
“Mangsa perempuan telah berjaya diselamatkan oleh pekerja pembinaan jambatan gantung di Kubah manakala seorang lagi mangsa lelaki masih hanyut di bawa arus.
“Pihak bomba bertindak membuat pencarian di sungai serta tepian sungai menggunakan bot,” kata Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam satu laporan hari ini.
Mangsa perempuan telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, identiti mangsa lelaki yang masih hilang belum dapat dikenal pasti.
Operasi SAR ditangguhkan pada pukul 6.58 petang dan akan bersambung semula hari ini. – K! ONLINE