KPN digesa buat laporan, siasat kartel polis kotor


Sebuah NGO menggesa Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador membuat laporan berhubung dakwaannya mengenai kartel polis kotor dalam pasukan itu kerana beliau mempunyai kewajipan undang-undang berbuat demikian.

Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) berkata, Seksyen 13 Kanun Prosedur Jenayah menyatakan individu yang mempunyai maklumat berhubung sebarang kesalahan di bawah Kanun Keseksaan mempunyai kewajipan undang-undang untuk membuat aduan polis.

“Sekiranya belum membuat laporan, EDICT berharap ketua polis negara dapat membuat satu laporan polis berhubung isu kartel polis dan secara khusus terhadap pegawai polis yang terlibat dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya menurut undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Awal bulan ini, Hamid mendakwa terdapat “kartel polis kotor” dalam Polis Diraja Malaysia.



Dalam wawancara dengan Utusan Malaysia, katanya, kartel itu didalangi pegawai kanan di peringkat pertengahan dengan motif untuk mendominasi pasukan itu bagi memudahkan mereka melakukan “kerja-kerja kotor”.

Katanya, “puak-puak tersebut” merancang untuk memastikan rakan sekerja mereka sama-sama dinaikkan pangkat, seterusnya mendominasi pucuk pimpinan tertinggi polis pada masa depan demi memastikan seluruh pasukan itu dikawal dan kegiatan berunsur jenayah yang dilakukan mereka dapat disembunyikan.

Beliau berikrar akan memastikan kartel itu disekat daripada berterusan.

Bagaimanapun, EDICT berkata, isu itu “seolah-olah tidak mendapat sokongan pegawai atasan dalam PDRM dan juga kerajaan”.



Katanya, PDRM perlu memastikan anggotanya beramanah, berintegriti dan jujur dalam menjalankan tugas mereka.

“Jangan disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga.”

Minggu lalu, NGO itu menggesa ketua polis negara dan kerajaan bekerjasama mengembalikan kredibiliti serta integriti polis di mata rakyat, susulan kenyataan Hamid yang dilaporkan Utusan.

“Sekiranya orang awam diawasi polis, maka polis pula memerlukan badan lain untuk mengawasi dan mengadili tindakan mereka,” katanya yang menggesa Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan untuk menyiasat “kartel polis kotor”. FMT



Isu kartel daging: ‘Jangan lindungi jika ada VVIP terlibat’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker