Isu kartel daging: ‘Jangan lindungi jika ada VVIP terlibat’

Pemuda Umno mendesak kerajaan untuk memastikan tidak akan berlaku usaha melindungi pihak yang terlibat dengan isu kartel daging import halal, termasuk jika ia melibatkan golongan kenamaan dan VVIP.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki sekali lagi menggesa kerajaan menubuhkan pasukan khas bagi menjalankan penyiasatan dan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang didapati terlibat dalam sebarang bentuk penyelewengan termasuk rasuah dalam isu berkenaan.

Tegasnya, pasukan itu haruslah melibatkan pelbagai agensi kawal selia dan penguatkuasaan industri halal termasuk pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Jangan ada sebarang usaha menutup ataupun melindungi mana-mana pihak termasuk jika terdapat orang kenamaan dan VVIP yang terlibat dengan penyelewengan amanah umat Islam ini!” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Gesaan sama turut dibuat Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin agar kerajaan mendedahkan syarikat yang terlibat dan serta-merta menghentikan operasi syarikat berkenaan.

Katanya, kerajaan di bawah kepemipinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak harus bersikap sambil lewa di kala umat Islam gusar dan hairan tentang bagaimana kartel itu boleh dibiarkan beroperasi sejak sekian lama.

“Namun malangnya, sehingga hari ini kerajaan gagal mendedahkan kartel yang terlibat dan lambat bertindak untuk menghalang syarikat ini daripada terus memasarkan daging yang diragui status halalnya.

”Sehubungan itu, Pemuda Amanah menggesa kerajaan mendedahkan syarikat yang terlibat dan serta merta menghentikan operasi syarikat berkenaan. Muhyiddin tidak wajar mengambil sikap sambil lewa terhadap kepentingan masyarakat Islam di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Sinar Harian pada Nov mendedahkan kegiatan mengimport daging sejuk beku dari luar negara tidak menerima kelulusan sah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Perbuatan  itu didakwa dilakukan oleh syarikat ejen fret yang dipertanggungjawabkan menguruskan proses pengimportan daging halal

Daging berkenaan dilaporkan dibungkus semula dengan jenama daging halal dan pelekat halal berserta logo Jakim sebelum diedarkan di pasar raya seluruh negara.

Pendedahan itu membawa kepada serbuan di sebuah gudang di Senai awal bulan ini, diketuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

New Straits Times pada 21 dan 22 Disember melaporkan kartel itu beroperasi selama 40 tahun, hasil bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi-agensi kerajaan untuk membawa daging-daging ke dalam negara kononnya sebagai daging yang berstatus halal.

Antara daging yang dibawa masuk adalah daging kangaru dan kuda, yang dijual sebagai daging yang berstatus halal.

Pegawai yang terlibat dikatakan menerima pelbagai jenis habuan, termasuk wang dan seks, bagi membolehkan kartel tersebut beroperasi mengimport daging-daging tersebut.

Bagaimanapun KPDNHEP menafikan kegiatan kartel daging halal palsu telah wujud di negara ini sejak 40 tahun lalu.

Timbalan menteri, Rosol Wahid pada minggu lalu berkata dalang utama kartel akan didedahkan dalam waktu terdekat, namun dalam masa sama memberitahu pihaknya dinasihatkan oleh timbalan pendakwa raya agar tidak mendedahkan perkara tersebut sehingga pendakwaan selesai.

Ketua Pejuang Muda (Penaja) Abu Hafiz Salleh Hudin turut senada dengan Shazni dan Asyraf apabila meminta kerajaan tidak berdiam diri dan menunggu kes dibawa ke mahkamah, tanpa penjelasan rasmi berkenaan maklumat terkini siasatan kes berkenaan.

Dia turut meminta kerajaan mendedahkan identiti syarikat terlibat dan menggantung lesen kebenaran membawa masuk daging syarikat-syariakat berkenaan.

“Kewujudan sindiket kartel daging yang menipu rakyat Malaysia ini merupakan bukti bagaimana rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku dalam sebahagian pengurusan kerajaan melibatkan penjawat awam adalah amat serius dan memerlukan tindakan agresif serta proaktif menanganinya.

“Ketelusan siasatan dan maklumat yang sudah diperolehi sepatutnya dikongsi bersama rakyat Malaysia kerana ia melibatkan kegelisahan awam dan berkait dengan urusan kehidupan harian rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker