JAIS Sahkan Sajat Disiasat!
SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS ) mengesahkan usahawan kosmetik sensasi, Nur Sajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman disiasat mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.
JAIS dalam kenyataannya berkata, siasatan tersebut dibuat berikutan tindakan Muhammad Sajjad,36, di dalam negeri Selangor dan beberapa aduan yang diterima mengenai pelakuannya pada 2018 dan 2020.
Katanya, pihaknya juga mengambil maklum berhubung video yang ditularkan Muhammad Sajjad berkaitan insiden melibatkan dirinya dan beberapa orang penguat kuasa JAIS, baru-baru ini.
“Muhammad Sajjad telah membuat laporan polis berkaitan insiden tersebut.
“Pegawai penguat kuasa berkenaan juga telah dipanggil bagi memberikan keterangan keterangan mengenai laporan dibuat (itu),” katanya.
Kosmo! terdahulu melaporkan Muhammad Sajjad mendakwa ditahan pada 6 Januari lalu di Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Kuala Kubu Bharu.
Dia mendakwa telah dilayan tidak wajar seperti digari walaupun datang bertujuan memberi keterangan dan kerjasama pada pihak JAIS.
Dalam pada itu JAIS memaklumkan, Sajat disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor No 5 Tahun 1995.
“Ia berikutan tindakannya di Selangor dan beberapa aduan yang diterima mengenai perlakuan beliau (Sajat) pada tahun 2018 dan 2020,” menurut kenyataan itu lagi.
Terdahulu, Sajat menerusi Instagram miliknya mendakwa JAIS seolah-olah melengah-lengahkan urusan surat jaminan dan turut menyebabkan kecederaan kepadanya ketika proses siasatan dijalankan di Ibu Pejabat JAIS di sini.
Sajat mendakwa beliau dilayan dengan buruk dan digari sehingga mengalami bengkak di bahagian badan kerana bergelut untuk mempertahankan diri walaupun sudah tampil memberikan kerjasama untuk siasatan pihak JAIS.