PKP enam negeri jejas KDNK RM1.5 bilion setiap hari

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan) Melaka, Johor dan Sabah yang akan bermula Rabu dijangka memberi kesan besar kepada ekonomi negara.

Penganalisis ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, ini kerana enam negeri terbabit mengakaunkan lebih 60 peratus pengeluaran Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kita anggarkan bahawa kesan ekonomi agak besar, mungkin berlaku penurunan lebih RM1.5 bilion sehari dalam kadar KDNK.

“Jika dua minggu PKP dilaksanakan bermakna sekurang-kurangnya RM20 bilion akan hilang dalam tempoh tersebut dan jika ia dilanjutkan sehingga empat minggu lagi, negara boleh kerugian kira-kira RM100 bilion,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Barjoyai, selaku pemerhati ekonomi, beliau menjangkakan PKP akan disambung sehingga empat ke enam minggu lagi.

Beliau berkata, jika hanya dilaksanakan selama dua minggu, ia tidak akan menurunkan kes Covid-19 secara segnifikan.

“PKP adalah kesan berjangka. Sebagai contoh, PKP pada April tahun lalu kesannya hanya boleh dilihat pada bulan Julai dan Ogos.

“Jadi untuk PKP kali ini, kita perlu menganggarkan selepas dua minggu tiada perubahan akan berlaku kerana jumlah kes akan sama tetapi ia dijangka menurun jika tempoh PKP dilanjutkan, sekurang-kurangnya sehingga Mac,” katanya.

Justeru katanya, pihak yang terlibat tidak boleh berasa kecewa, malah tindakan dilaksanakan kerajaan ini juga dilakukan dengan prihatin kerana menganggap nyawa lebih berharga daripada wang ringgit.

Menurutnya, kerajaan juga dilihat sudah bersedia kerana menerusi Belanjawan 2021 sudah diperuntukkan subsidi upah untuk tiga bulan bagi Januari sehingga Mac, sementara untuk bantuan sara hidup juga diberikan untuk tempoh tiga bulan.

“Ini menunjukkan kerajaan melaksanakan PKP dengan berhati-hati di mana peruntukan awal sudah disediakan, jadi tiada keperluan untuk menambah peruntukan.

“Namun jika PKP disambung sehingga selepas Mac, berkemungkinan kerajaan perlu menambah peruntukan kepada belanjawan sedia ada,” katanya.

Ketika mengulas sama ada kerajaan wajar menawarkan moratorium bayaran pinjaman kepada rakyat, Barjoyai berkata, perkara itu sukar dilakukan kerana bank tidak boleh bertahan begitu lama memandangkan selepas enam bulan, institusi kewangan terbabit terpaksa menghapuskan hutang sebagai hutang lapuk.

Sebaliknya, kata beliau, pemberian subsidi elektrik kepada rakyat yang terlibat PKP kali ini adalah wajar.

“Ia boleh diketengahkan kepada TNB (Tenaga Nasional Berhad) dan TNB sebenarnya mampu untuk menyediakan kemudahan tersebut,” katanya.-SH

https://mykmu.net/2017/12/15/kdnk-malaysia-diunjur-lebih-tinggi-di-bawah-pentadbiran-najib-bank-dunia/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker