[VIDEO] ‘Tiga Kali Polis Tumbuk Muka Saya’
Kuala Lumpur: “Tiga kali dia tumbuk muka saya, apa yang dia (anggota polis) nafikan itu adalah tidak benar, sebaliknya dia sudah menumbuk saya dua kali sebelum video itu dirakam,” kata Muhammad Farhan Awang Kafli, 30.
Muhammad Farhan berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan untuk menghantar isterinya ke tempat kerja sebelum melalui satu sekatan jalan raya (SJR).
“Ketika ditahan itu anggota polis berkenaan sudah menumbuk saya sebanyak dua kali, kemudian dia datang lagi merampas kunci motor dan mendakwa saya melanggar kakinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=HqY6Tt98Xi8[/embedyt]
Menurutnya, ketika cuba menjelaskan keadaan dia kemudian ditumbuk sekali lagi dan dilemparkan kata-kata kesat.
“Dia beritahu isteri saya kenapa saya ini bodoh sangat, saya tahu saya melakukan kesalahan namun tindakan dia (anggota polis) itu tidak boleh diterima.
“Saya sudah cuba menjelaskan bahawa saya tidak melanggar kaki dia, namun dia tidak boleh terima dan menumbuk saya,” katanya.
Katanya, dia dan isteri kini sedang membuat laporan polis berhubung kejadian.
“Saya berharap siasatan yang telus dapat dijalankan kerana tindakan anggota polis itu tidak boleh diterima.
“Sekali lagi saya mengaku saya melakukan kesalahan tetapi tidak boleh menghukum saya dengan cara begitu,” katanya.
Terdahulu, anggota polis trafik yang didakwa menumbuk seorang penunggang motosikal di Kilometer 28.3 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur, dekat sini, hari ini, membuat laporan menafikan perkara itu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, satu SJR dilakukan di lokasi itu membabitkan tujuh anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya jam 8 hingga 9 pagi tadi.
Satu video berdurasi 37 saat menunjukkan seorang anggota polis dilihat menumbuk seorang penunggang motosikal yang ditahan di tepi jalan untuk pemeriksaan tular di media sosial, hari ini.-HM
Lelaki pukul dan tumbuk ayah kerana kain buruk
You must be logged in to post a comment.