Alasan Ramadan untuk hadkan tempoh suntikan vaksin menghairankan, kata Syed Saddiq

 

PETALING JAYA : Alasan digunakan Kementerian Kesihatan mengehadkan waktu suntikan vaksin Covid-19 disebabkan bulan Ramadan adalah menghairankan, kata Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menerusi Facebooknya, Syed Saddiq turut mempersoalkan tidak semua rakyat di negara ini berpuasa dan menyambut Ramadan, malah tidak sepatutnya ia ditangguhkan.



“Sekarang hal utama yang kerajaan harus laksanakan dengan segera adalah untuk membuat vaksinasi kepada rakyat sehingga sekurang-kurangnya 80% populasi. Jadi, sangat penting untuk program vaksinasi dilaksanakan dengan segera dan menyeluruh.

“Tapi, kenapa Kementerian Kesihatan menggunakan alasan bulan Ramadhan untuk menghadkan tempoh pelaksanaan vaksinasi? Ambil masa lama sangatkah untuk rakyat dapat vaksin?

“Adakah rakyat Malaysia ini hanya dalam kalangan orang yang menyambut Ramadhan sahaja?” katanya.

Syed Saddiq turut mempersoalkan bila giliran seterusnya pemberian vaksin akan diberikan sekiranya penangguhan ini berlaku.



“Adakah keputusan Kementerian Kesihatan untuk tidak membuat vaksinasi pada waktu malam ini kerana tuntutan dari rakyat yang menyambut bulan Ramadhan? Kementerian Kesihatan juga harus kaji pelaksanaan di negara lain dan bagaimana mereka boleh mengedarkan vaksin dengan lebih cepat dan menyeluruh.

“Contohnya, di Bhutan baru-baru ini tular kerana berjaya membuat vaksinasi kepada 470,000 orang rakyat dalam masa sembilan hari sahaja dan di Malaysia, kita baru sahaja berikan dos kedua kepada 409,784 orang sahaja sejak Februari hingga 12 April.

“Kementerian Kesihatan sepatutnya fikir jalan untuk cepatkan program vaksinasi, bukan tangguh kerana ada bulan puasa,” tambahnya.

Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan, Noor Azmi Ghazali dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan tidak akan melakukan suntikan vaksin pada waktu malam sepanjang Ramadan dan dijalankan seperti biasa sehingga petang bagi mengelakkan ibadah di bulan suci itu terganggu.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker