Dua penunggang motosikal maut bertembung sesama sendiri
TAMPIN: Dua penunggang motosikal maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung sesama sendiri di Kilometer 42, Jalan Tampin-Gemas berhampiran Taman Pinggiran Felda, dekat sini, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.05 malam itu, kedua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
KEADAAN kemalangan membabitkan dua penunggang motosikal yang maut selepas bertembung sesama sendiri di Kilometer 42, Jalan Tampin-Gemas berhampiran Taman Pinggiran Felda, Tampin, malam semalam.-IHSAN Polis
Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab. Wahab, kemalangan berkenaan membabitkan dua buah motosikal jenis Yamaha 125ZR yang ditunggangi Muhammad Khairul Haffuan Mustafar, 19, dan Yamaha 150ZR yang ditunggangi Mohamad Syahrul Ikmal Radhi, 21.
“Berdasarkan siasatan awal, penunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR dari arah Tampin ke Gemas telah bertembung dengan penunggang motosikal jenis Yamaha 150ZR dari arah bertentangan.
“Akibat pertembungan kedua-dua buah motosikal tersebut menyebabkan penunggang motosikal kedua-duanya meninggal dunia ditempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Anuwal berkata, kedua-dua mayat telah di hantar ke Hospital Tampin untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Sehubungan itu, saksi bebas yang melihat kemalangan berlaku boleh tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Afiqah Aqwa di talian 013-9515011 untuk membantu siasatan. -UTUSAN ONLINE
Polis kesan pesakit COVID-19 lari dari Hospital Tampin