Kilang Tak Terima Kerja Bakal Doktor

Setahun dua bulan bergelar ‘doktor menganggur’ adalah satu tempoh mencabar bagi graduan perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, Pahang ini.

Pelbagai pekerjaan dilakukan Dr Farah Hanim Abdul Halim, 26, bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Sepanjang tempoh itu, Dr Farah Hanim pernah menjadi guru tabika, pembantu penyelidik dan kakitangan klinik kesuburan secara sambilan.

Malah, permohonan kerja di sebuah kilang pernah ditolak hanya semata-mata dia pemegang ijazah sarjana muda perubatan dan pembedahan.

Namun, penantian Dr Farah Hanim berakhir apabila ditawarkan menjalani latihan perubatan housemanship di sebuah hospital kerajaan di Perak pada Oktober lalu.

Dr Farah Hanim berkata, dia tidak dapat mengelak daripada berasa tertekan sepanjang tempoh menjadi doktor menganggur.

“Lebih-lebih lagi apabila kerap diajukan soalan bila akan dapat pekerjaan.

“Seperti graduan lain, saya juga mahu cepat mendapat kerja (latihan perubatan) selepas tujuh tahun bertungkus-lumus belajar perubatan.

“Tetapi apa yang berlaku tidak seperti diharapkan dan perlu menanti dengan penuh kesabaran,” katanya.

Menurut Dr Farah Hanim, bukan dia saja, malah ramai rakan-rakan dalam bidang perubatan mendapat nasib yang sama.

“Saya juga sedih kerana tidak dapat membantu kewangan keluarga memandangkan gaji yang diterima kecil, sekadar cukup untuk menampung keperluan diri.

“Saya tidak terkecuali terkesan akibat pandemik Covid-19 apabila turut kehilangan pekerjaan sambilan itu lalu pulang ke kampung halaman di Kedah.

“Sepanjang lapan bulan bekerja (guru Tabika, pembantu penyelidik dan kakitangan klinik kesuburan secara sambilan), ia banyak membantu saya mempelajari mengenai kehidupan sama ada dalam bidang perubatan serta bukan perubatan.

“Semua pengalaman ini sangat berguna untuk masa depan,” katanya.

Dr Farah Hanim berkata, sokongan keluarga terutamanya ibu bapa membantunya melalui tempoh itu secara positif.

Katanya, walaupun baru dua bulan menjalani latihan perubatan, ia satu peluang untuk mencapai cita-cita menjadi pakar psikiatri atau kesihatan awam kelak.-HM

Hijab Pakai Buang: Dr Farah tercalon untuk British Muslim Award

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker