Hijab Pakai Buang: Dr Farah tercalon untuk British Muslim Award


“Saya tidak pernah mengimpikan untuk memenangi sebarang anugerah,” kata Dr Farah Shaheera Roslan.

Dr Farah menerima pengiktirafan NHS Leadership Academy Award dan dicalonkan untuk British Muslim Award kerana sumbangannya mencipta hijab pakai buang untuk kegunaan dalam dewan bedah (OT).

Menurutnya, pengiktirafan berkenaan turut didedikasikan kepada mentornya terutama doktor Muslim di United Kingdom (UK) yang banyak memberi bimbingan.

“Saya tidak hasilkan idea ini berseorangan kerana inovasi dan pencapaian ini datangnya daripada doktor Muslim yang memainkan peranan membimbing saya terutama dari aspek ‘Islamophobia’.



“Kalau kita tengok, banyak juga laporan di akhbar bahawa orang ramai termasuk doktor Muslim berdepan cabaran seperti diskriminasi masjid, perbezaan jantina, etnik, warna kulit dan sebagainya.

“Bagi saya, orang Muslim sendiri tidak boleh duduk diam sebaliknya kita sendiri mesti cuba selesaikan sendiri isu ini dan cetusan idea ini satu daripadanya,” katanya ketika wawancara dalam program ‘Living The Live’ yang disiarkan Islam Channel, baru-baru ini.

Dr Farah berkata, hijab pakai buang itu menjadi jalan penyelesaian dilema wanita Muslim yang ingin bergelar pakar bedah tanpa meninggalkan tuntutan agama berikutan dasar prosedur standard diamalkan sesetengah hospital di dunia bagi mengelak jangkitan.

“Sebagai penuntut perubatan, saya pernah ada pengalaman sukar untuk memasuki dewan bedah kerana saya tidak pasti dan dapat menjangka (tudung dipakai bersih atau tidak), malah kadang-kala mereka melihat itu dari aspek jangkitan.



“Mungkin itu juga membuatkan seseorang itu tidak memilih bidang ini kerana mereka fikir susah kalau pakai tudung.

“Saya rasa itu betul kerana kita perlu membuat pilihan antara karier misalnya bidang pembedahan ini atau pemakaian tudung, jadi saya rasa kenapa tidak kita buat sesuatu tanpa mengenepikan kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, pencapaian doktor muda yang kini menjalani latihan dalam pasukan bedah di Northampton General Hospital itu turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Saya harap video ini dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak wanita Muslim bergelar pakar bedah pada masa depan.



“Tiada yang mustahil jika kita bersatu, terus berinovasi dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam pembedahan.

“Segalanya bermula dengan niat ikhlas kita untuk mencipta perbezaan besar untuk kemajuan dalam pembedahan dan penjagaan kesihatan.

“Wanita Muslim Malaysia, apabila diberi peluang dapat melakukan keajaiban. Alhamdulillah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, Jumaat lalu.

Difahamkan, Dr Farah mengambil masa tiga bulan untuk membuat penyelidikan sebelum rekaannya itu diluluskan dan dibekalkan ke dewan pembedahan di University Hospitals of Derby dan Burton Trust.



Dr Farah juga bekerjasama dengan British Islamic Medical Association mengenai aspek garis panduan penggunaan hijab untuk kegunaan klinikal. HM

“Sudahlah Anak Dijaga Bekas Isteri, Nafkah Pula Kedekut, Haji Bakhil…” – Farah Lee



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker