Al-Fatihah: Md. Rajihan sudah ditemui



KLUANG – Mangsa yang hilang dihanyutkan air deras di Batu 18 Jalan Kluang-Kahang, petang Sabtu lalu ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) petang hari ini.

Mayat Md. Rajihan Mohd. Junaidi, 28, dijumpai pada pukul 5.15 petang kira-kira 15 meter dari lokasi kereta Proton Waja yang ditemui petang semalam.

Pasukan penyelamat SAR mengangkat jenazah Md. Rajihan yang ditemui kira-kira 15 meter dari lokasi keretanya ditemui.

Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Akob Sidek, anggota SAR melakukan operasi dengan cara menggodak kawasan itu sebelum mayat mangsa timbul.

“Mayat mangsa kemudian dinaikkan ke bot pasukan penyelamat sebelum diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom untuk bedah siasat.




“Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak Sabtu lalu ditutup kira-kira 6 petang tadi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Isteri Md. Rajihan, Khairunnisa (dua kanan) tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat jasad suaminya ditemui

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi kawasan pencarian apabila isteri mangsa, Khairunnisa Ibrahim, 25, yang setia menunggu sejak pagi tadi, tidak dapat membendung perasaan hingga terpaksa dipapah dan ditenangkan ahli keluarganya.-K! ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published.