‘UMNO Jangan jadi ‘juara’ perpecahan’ – Annuar Musa

KOTA BHARU: UMNO harus mengelak daripada dilabel sebagai ‘juara’ perpecahan atau menjadi punca ke arah keadaan itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan parti politik Melayu bakal mengundang kehancuran dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, UMNO berkemungkinan tidak lagi menjadi pilihan jika lari daripada roh dan semangat perjuangan yang berteraskan prinsip serta tuntutan keagamaan serta kebangsaan Melayu, tidak mustahil UMNO akan ditinggalkan.

“UMNO jangan jadi ‘champion’ (juara) perpecahan. Saya sangat tidak setuju kalau kita pula yang menjadi punca perpecahan, nak tolak orang tu, nak tolak orang ni… macam kita kuat sangat.

“Itu satu sifat sombong yang tidak memberi kebaikan kepada parti.

“UMNO juga harus keluar daripada kepompong lama. Kalau benda rakyat dah tolak, tak suka, baik individu, program, dasar mahu pun perbuatan, jangan kita ulangi lagi kerana kita kena dengar suara rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di sini, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, UMNO perlu menerima prinsip taawun dan tahaluf, sekali gus menolak tepi angan-angan untuk bergerak secara solo.

“Saya tidak setuju kalau ada yang mahu begitu kerana itu bukan formula kemenangan kepada parti yang saya sendiri sudah 40 tahun menjadi ahlinya.

“Saya juga sayang kepada parti macam orang lain tetapi kalau pendapat saya salah, saya terimalah.

“Bagaimanapun, saya ada buat tinjauan dan kajian sebelum ini bagi melihat realitinya.

“UMNO tidak boleh bersendirian kalau nak berjaya. UMNO perlu bekerjasama di bawah prinsip taawun dan tahaluf,” katanya.

Annuar berkata, istilah akar umbi tidak wajar disalah erti kerana ‘warlord’ atau mereka yang mempunyai kuasa bukan akar umbi sebenar.

Katanya, kedudukan seperti ketua UMNO bahagian bukannya akar umbi kerana ada masanya pemimpin bercakap atas nama peribadi.

“Kita tidak bincang lagi dengan ahli-ahli di bawah dan kalau kita bawa kepada ahli di bawah sekalipun, kita kena faham kita masih minoriti.

“Majoriti pengundi adalah rakyat yang bukan ahli parti kita, maka penting bagi saya mendengar suara rakyat dan akar umbi.

“Suara akar umbi itu penting tetapi tidak boleh persoal akar umbi parti sahaja, kita kena dengar suara rakyat,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker