Polis teman 30 mat rempit solat Subuh

Share

Jasin: Seramai 30 mat rempit yang ditahan polis dibawa menunaikan solat Subuh di Surau At Tawwab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, di sini, selepas Operasi Bersepadu Cegah Jenayah Sempena Ambang Tahun Baru 2021, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, selepas itu tazkirah dan nasihat kehidupan disampaikan kepada kumpulan mat rempit yang berusia antara 14 hingga 20 tahun berkenaan.

Katanya, pendekatan berhemah itu bertujuan memberi kesedaran kepada mereka dalam usaha mengelak generasi muda terbabit dengan aktiviti tidak bermoral.

Menurutnya, daripada 30 individu berkenaan, seorang didapati positif dadah.

“Dalam operasi ini, seramai enam individu ditahan atas kesalahan dadah dan trafik. Operasi turut menyita 16 kenderaan dan merampas tiga kenderaan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan 107 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu-lintas.

“Selain itu, seramai enam individu dikenakan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan),” katanya.

Beliau berkata, operasi membabitkan 61 anggota dan tujuh pegawai diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Perundangan Trafik Jasin Asisten Superintendan Zurihan Zakaria.

Mispandi berkata, operasi yang bermula 11 malam itu berakhir kira-kira 7 pagi.

Menurutnya, ibu bapa perlu memberi perhatian kepada anak masing-masing dengan memantau pergerakan dan pergaulan mereka. HM

Leave a Reply