Wanita pukul kucing bunting dengan besi sampai mati
SEBERANG PERAI – Seekor kucing sedang bunting mati manakala seekor lagi cedera selepas dipukul dengan sebatang besi oleh seorang wanita di bawah sebuah pangsapuri di Pintas Kalui 1, Seberang Jaya di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu dikatakan berpunca apabila wanita berkenaan berang kerana mendakwa beberapa ekor kucing telah membuang najis di hadapan rumahnya di kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, tindakan oleh suspek berusia 51 tahun itu telah disaksikan oleh seorang lelaki yang tampil membuat laporan polis.
“Menurut pengadu (saksi), suspek telah memukul dua ekor kucing yang sedang diberi makan oleh rakan pengadu dengan sebatang besi yang diambil dari dalam sebuah kereta.
“Akibat kejadian itu, salah seekor kucing tersebut yang bunting mati, manakala seekor anak kucing luka pada mulut,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Shafee berkata, saksi itu kemudiannya menghubungi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sebelum kucing tersebut diambil dan dibawa ke ibu pejabat JPV di Jalan Bukit Tengah, Bukit Mertajam di sini.
“Polis telah menahan suspek yang bekerja sebagai seorang broker itu dan soal-siasat mendapati dia tiada sebarang rekod lampau,” katanya lagi.
Shafee berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015. K Online
Lelaki mengaku tidak bersalah bunuh tiga kucing dalam mesin kedai dobi