Promosikan Kelebihan UMNO/BN – Shahril
Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan menyeru semua ahli parti giat mempromosi kelebihan dan kebaikan yang ada pada UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang berpengalaman dalam mentadbir negara dengan jayanya.
Usaha tersebut ujarnya, tidak akan merugikan parti kerana dengan hasil keringat dan tenaga yang dicurahkan akhirnya parti akan mendapat tempat di hati rakyat.
“Jadi kembalikan nama BN. Promosikan kepimpinan dan dasar-dasar yang diperkenalkan. Semua barisan kepimpinan yang kita ada adalah dipilih secara sah dan semua aset parti. Mengambil contoh rakyat sebutkan mengenai moratorium, sedar tak sedar yang pertama mencadangkan perkara demikian adalah presiden kita, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Kita juga jangan menembak sama sendiri. Perkara tersebut tidak mendatangkan sebarang kebaikan bahkan merugikan kita dan ianya perlu kita urus dengan sebaik-baiknya. Kita perlu utuh dan solid sebagai satu parti. Matlamat utama kita adalah mahukan parti kita menang,” tambahnya lagi.
Shahril berkata demikian dalam sesi majlis penerangan di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini malam tadi.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad, Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri Mohammad Khairi A. Malik dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pulai Datuk Ramlee Bohani.
Pada sebelah petangnya, Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia turut melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad juga selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri di kediaman rasmi Menteri Besar, di sini.
Dalam sesi penerangan tersebut, Shahril turut menyentuh bahawa UMNO pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menghadapi situasi luar kelaziman dan mampu mengurusnya.
“Allah Ta’ala turunkan ujian pada tahun 2020 ini, kita hadap dan urus ujian meskipun luar kelaziman. Bukan hanya tahun 2020 tapi tahun sebelumnya. Siapa sangka 31 bulan yang lalu PRU-14 kita tumbang, parti yang memerdekakan, memajukan negara, mengurangkan kadar kemiskinan tingkatkan ekonomi akhirnya jatuh menjadi pembangkang, luar kelaziman tetapi kita hadap dan urus.
“Begitu juga dengan perkara-perkara yang berlaku selepas itu dan keruntuhan sebuah kerajaan yang tidak sampai suku penggal mentadbir jatuh dengan sendirinya juga adalah di luar kelaziman.
“Bersama-sama dengan parti rakan yang lain UMNO kembali menjadi sebahagian dari kerajaan juga menjadi contoh ia luar kelaziman,” katanya.
Oleh kerana itulah ujarnya, UMNO perlu melihat secara objektif dan rasional berdasarkan pengalaman-pengalaman yang telah dilalui itu untuk membuat satu keputusan yang terbaik untuk parti. – UMNO ONLINE
You must be logged in to post a comment.