Didakwa terlibat sindiket haram, Wee buat laporan polis

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong membuat laporan polis berhubung satu mesej WhatsApp yang mendakwanya terlibat dalam sindiket haram.

Mesej tular bertajuk “Konspirasi dan Skandal Rasuah di Malaysia” itu mendakwa Wee mempunyai hubungan rapat dengan sindiket tersebut dan memperkenalkan peraturan perkapalan yang menghalang kapal tangki tertentu mengangkut minyak gred berat atas arahan mereka.

“Apabila menerima mesej WhatsApp yang berunsur tohmahan dan fitnah, saya terus (pergi) ke Balai Polis Cheras membuat laporan polis,” kata Wee dalam hantaran di Facebook.

“(Saya) mahu PDRM melakukan siasatan terhadap tohmahan dan fitnah yang disebarkan melalui WhatsApp.



“Tohmahan itu bukan sahaja dilemparkan terhadap saya, tetapi ia turut mengheret agensi kerajaan yang lain, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata presiden MCA itu.

Mesej tular berkenaan mendakwa sindiket itu mempunyai “kemahiran tinggi” dan strategi untuk memasarkan minyak, alkohol dan rokok haram.

Ia menyebut bahawa hubungan rapat dengan Wee adalah penting dalam pengangkutan barangan tidak sah mereka ke seluruh negara.

Mesej itu turut mendakwa sindiket berkenaan “mengawal dan memanipulasi ” menteri dan pegawai penguat kuasa daripada pelbagai agensi, termasuk SPRM sejak sekian lama.



Wee berkata, SPRM menyiasat individu yang didakwa menandatandangi mesej WhatsApp itu.

Beliau menafikan mempunyai apa-apa peranan berkaitan mesej itu dan menegaskan bahawa identitinya disalahgunakan oleh pihak tertentu.

Wee juga berkata peraturan yang dirujuk dalam mesej WhatsApp itu, iaitu NPM 16/2020 (Notis Perkapalan Malaysia 16/2020) merupakan dasar yang dilaksanakan sejak lima tahun dulu.

NPM 16/2020 melarang kapal tangki “single hull, single bottom” dan/atau “single hull, double bottom” (struktur kapal) daripada mengangkut minyak gred berat tanpa kelulusan Kementerian Pengangkutan.



“Piawaian Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) hanya membenarkan penggunaan kapal ‘double hull double bottom’ untuk mengangkut minyak gred berat bagi mengurangkan risiko pencemaran,” kata Wee.

“Jabatan Laut Malaysia (JLM) sendiri pernah membuat siaran mengenainya pada tahun 2015.”

Wee berkata, beliau akan menghormati siasatan SPRM ke atas seorang pegawai kanan Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan pihak lain yang didakwa terlibat dalam mendapatkan pengecualian tertentu terhadap penggunaan kapal “single hull, single bottom” dan/atau “single hull, double bottom” untuk mengangkut minyak gred berat tanpa kelulusannya. FMT

Bantahan DAP beri mesej jelas buat Maszlee



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker