Bantahan DAP beri mesej jelas buat Maszlee

Bantahan DAP terhadap kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkenaan isu matrikulasi dan keperluan fasih berbahasa Mandarin untuk memohon pekerjaan, memberikan mesej jelas bahawa parti itu tidak bersetuju dengan hak-hak keistimewaan orang Melayu.

Sambil menyatakan sokongan terhadap Maszlee, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, sehubungan itu, sewajarnya agenda tersebut difahami oleh Maszlee dan seluruh pemimpin kerajaan lain.

Malah kata beliau, DAP sentiasa menanti masa yang tepat untuk menyatakan pendirian mereka itu.

“Saya melihat perkara ini daripada perspektif merentasi fahaman politik. Adalah benar (apa yang disebut oleh Maszlee) bahawa tawaran kerja oleh syarikat-syarikat besar masih menetapkan syarat penguasaan bahasa Mandarin.

“Syarat itulah yang menyukarkan anak-anak Melayu khususnya graduan lepasan universiti mendapatkan pekerjaan. Jadi untuk mengimbangi situasi ini, hak-hak keistimewaaan Melayu seperti kuota matrikulasi itu perlu dikekalkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa Yayasan Khyar Ummah Antarabangsa (Ikaf) di sini malam tadi.

Maszlee sebelum ini dikritik hebat oleh pemimpin DAP termasuk Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CCC) DAP, Datuk Teng Chang Khim dan Dr. P. Ramasamy berikutan kenyataan beliau yang mempertahankan kuota matrikulasi serta mempertikaikan tindakan majikan menetapkan syarat fasih bahasa Mandarin di negara ini.

Chang Kim yang merupakan Exco Kerajaan Negeri Selangor menyifatkan Maszlee sebagai ‘bodoh’ sementara Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang mendakwa Ahli Parlimen Simpang Renggam itu tiada bezanya dengan pemimpin UMNO.

Tambah Fathul Bari yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar, kuota yang dikekalkan kerajaan itu adalah untuk mengimbangi peluang di antara kedua-dua kaum tersebut.

“Kalau tidak seimbang akan menyebabkan ketidakstabilan antara golongan majoriti (Melayu) dan minoriti (kaum lain). Golongan minoriti ini menguasai ekonomi dan biarlah orang Melayu ini kekal dengan hak-haknya bagi memastikan keseimbangan itu. Takkan itu pun hendak diusik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap isu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sama ada ingin kembali semula memimpin UMNO atau sebaliknya tidak dijadikan polemik dalam kalangan parti.

Katanya, apa yang penting sekarang adalah semua pihak memberi ruang kepada Datuk Seri Mohamad Hasan yang menjalankan tugas-tugas Presiden menunaikan tanggungjawab dan mandat tersebut.

“Fokus kita adalah buat kerja bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO. Tidak perlu bangkitkan soal kemunculan semula (Ahmad Zahid) atau sebagainya kerana ada lagi perkara lebih penting untuk diberikan tumpuan termasuk kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya.- UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker