Pembuat sarung tangan, anak syarikat hadapi 30 pertuduhan

Syarikat pengeluar sarung tangan Brightway Holdings dan dua anak syarikatnya berdepan 30 pertuduhan meliputi pelbagai kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Menurut Kementerian Sumber Manusia, sebanyak 22 pertuduhan akan dibuka terhadap Brightway dan anak syarikatnya, Biopro (M) Sdn Bhd, manakala lapan pertuduhan akan dibuka bagi satu lagi anak syarikatnya, La Glove (M) Sdn Bhd.

Kementerian itu berkata Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) kini dalam peringkat akhir menyediakan kertas siasatan sebelum dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya.

“Antara kesalahan tersebut adalah kegagalan majikan mendapatkan Perakuan Penginapan daripada Ketua Pengarah JTKSM di bawah Seksyen 24D Akta 446,” kata kementerian tersebut.

Selain itu syarikat berkenaan juga akan didakwa kerana melanggar peraturan-peraturan di bawah Akta 446 yang melibatkan penyediaan kemudahan yang tidak memenuhi spesifikasi standard minimum.

Sekiranya sabit kesalahan syarikat berkenaan boleh didenda maksimum RM1.5 juta atau denda hingga RM50,000 bagi setiap pertuduhan.

Minggu lalu, Menteri Sumber Manusia M Saravanan menyertai lawatan mengejut pelbagai agensi di kilang La Glove dan Biopro.

Semasa serbuan di La Glove, ratusan pekerja asing didapati tinggal dalam kontena yang diubah suai menjadi tempat tinggal, dengan keadaan sempit dan kotor.

Saravanan pada masa itu berkata, keadaan tempat tinggal pekerja terbabit adalah yang terburuk pernah dilihatnya.

Serbuan berikutnya di Biopro mendapati terdapat usaha untuk mengelak tindakan daripada pihak berkuasa apabila semua pekerja dipindahkan ke lokasi lain ketika serbuan dilakukan.

Saravanan semalam mengesahkan bahawa maklumat mengenai serbuan itu dibocorkan oleh ‘orang dalam kerajaan’ kepada pemilik kilang terbabit.

La Glove sebelum ini menerima notis penutupan sementara, manakala Biopro didenda RM1,000 oleh pihak berkuasa kerana tidak mematuhi garis panduan pencegahan Covid-19.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker