Afi, penyumbang cilik van jenazah nak jadi Perdana Menteri

Muhammad Afizal Nor Afizan, 9 tahun atau lebih mesra dengan panggilan Afi, bukan seperti kanak-kanak biasa. Penyumbang cilik dari Petaling Jaya ini punyai ‘hati’ yang cukup besar.

“Nak tolong orang susah, tak suka tengok orang susah,” itu katanya.

Kelmarin, beliau menyampaikan hasrat kepada bapanya yang juga ahli perniagaan Nor Afizan Ayub, 35, untuk turut sama menyumbang, membeli sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Starex untuk dijadikan van jenazah wakaf Amal Valley.

Bagi tujuan itu, Afi telah memecahkan tabung simpanannya untuk membeli MPV yang akan diwakafkan sebagai van jenazah Amal Valley, yang juga badan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan khidmat pengurusan jenazah secara percuma.



“Saya nak ikut walid (ayah), nak buat apa yang walid buat,” katanya.

Sekali imbas, Afi kelihatan seperti anak-anak biasa tetapi ketika mendengar cerita bapanya, ternyata anak sulung daripada dua beradik itu amat istimewa.

“Pernah dia balik rumah tanpa baju, bila saya tanya mana baju, Afi jawab dia bagi pada orang yang dia tak kenal.

“Dia memang tak boleh tengok orang susah, orang tak cukup makan,” kata Nor Afizan yang mula mendedahkan anaknya (Afi) dengan kerja-kerja kebajikan (pengurusan jenazah) sejak berusia empat tahun lagi.



Tidak seperti kanak-kanak lain, Afi juga tidak merasa takut untuk membantu bapanya yang juga penyumbang utama dan sukarelawan Amal Valley, untuk menguruskan jenazah.

“Kadang-kadang dia tunggu hingga malam, bantu saya uruskan jenazah,” kata Nor Afizan yang menyifatkan sikap anaknya itu berkemungkinan diwarisi daripada rutin keluarganya, termasuk arwah bapanya Ayub Ghani yang selalu membuat kerja kebajikan setiap hujung minggu.

Nor Afizan berkata Allahyarham bapanya meninggal dunia dua minggu lalu selepas selesai solat Subuh.

Afi turut bercerita tentang dua sahabat baiknya di sebuah sekolah di Kota Damansara yang dia namakan sebagai Muiz dan Tawfiq.



“Muiz dia anak yatim, selalu tiada duit nak makan jadi saya belanja dia makan. Tawfiq samalah macam Muiz (orang susah),” kata Afi yang kelihatan sebak apabila bercerita tentang sahabat karibnya itu.

Nor Afizan berkata beliau berkongsi cerita anaknya bukannya untuk menunjuk-nunjuk, tetapi ingin membuktikan bahawa umur tidak seharusnya menjadi penghalang untuk seseorang itu membuat kebaikan.

Presiden Amal Valley Dr Azfar Hussin, yang menerima sumbangan van jenazah bagi pihak Amal Valley berkata, van jenazah wakaf bernilai RM60,000 yang sebahagiannya hasil sumbangan Afi itu, merupakan van jenazah ke-15 di bawah kendalian Amal Valley.

Beliau turut menyifatkan sumbangan itu sebagai istimewa, kerana penyumbangnya baru berusia sembilan tahun tetapi sudah mahu mengikuti jejak bapanya sebagai penyumbang dan sukarelawan, bagi membantu golongan memerlukan.



“Dia (Afi) bukan saja mendengar cerita ayahnya bekerja sebagai sukarelawan tetapi berada di dalam, melihat dan membantu, menguruskan jenazah.

“Anak ini tak takut, seterusnya bila dia memberitahu yang dia pecah tabung sendiri, elemen itu menyetuh hati kami sebagai sukarelawan. Sebenarnya apa kita buat bukan untuk orang lain, tetapi kembali kepada kita sendiri,” kata Dr Azfar.

Sebelum mengakhiri sesi temubual dengan Afi, penulis bertanya apakah cita-cita beliau apabila dewasa kelak, Afi menjawab, ‘perdana menteri’. Bernama

Ebit bantu 250 pemandu bas, van sekolah



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker