Lim Kit Siang ucap tahniah kepada KJ

Lim Kit Siang mengucapkan tahniah kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin “sekiranya benar dakwaan beliau” bahawa Malaysia mendapatkan vaksin Pfizer lebih murah berbanding Belgium.

Veteran DAP itu bagaimanapun membangkitkan pula isu jadual penghantaran bekalan vaksin pertama.

“Pun begitu, berdasarkan jadual penghantaran bekalan vaksin pertama ke Malaysia, harapan untuk melihat kes Covid-19 di Malaysia menurun pada suku pertama atau suku kedua tahun depan adalah tidak menyakinkan,” katanya.

Selepas menteri Belgium mendedahkan Kesatuan Eropah (EU) membeli Pfizer dengan harga €12 (RM59.43), Khairy semalam memberi bayangan Malaysia mendapat harga lebih murah.

Katanya dia amat senang dan gembira dengan harga yang ditawarkan Pfizer.

Dia mengulas kegusaran pembangkang susulan peruntukan kerajaan sebanyak RM3 bilion untuk membeli vaksin terbabit.

Khairy berkata kerajaan akan membelanjakan RM2.05 bilion untuk memberi suntikan vaksin kepada 26.5 juta orang (82.8 peratus), melibatkan perjanjian dengan Covax, Pfizer dan AstraZeneca bersama tiga syarikat lain.

Dalam kenyataan hari ini, Lim yang hampir setiap hari mengeluarkan kenyataan media berkaitan Covid-19, berkata dengan purata 2,000 kes baru setiap hari, jumlah terkumpul kes boleh meningkat kepada 175,000 pada Januari, 230,000 pada Februari dan dan 300,000 pada Mac.

Bagaimanapun, Lim mengakui ia lebih rendah berbanding ramalan awal Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan Amerika Syarikat (IHME).

Katanya IHME meramalkan peningkatan berterusan kes di Malaysia sehingga pertengahan Mac 2021, dengan lebih daripada 5,000 jangkitan setiap hari bermula dari 25 Februari 2021.

“Mujurlah, unjuran model IHME itu tidak menjadi kenyataan, pun begitu rakyat Malaysia masih perlu sentiasa berwaspada,” katanya.

Lim juga berkata Malaysia mempunyai indeks “Jumlah kes persejuta penduduk” yang lebih tinggi daripada kebanyakan negara di Asia dan Asean , selain Singapura dan Filipina. Mk

Saya gembira dengan harga dari Pfizer, kata KJ

Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker