Kebun haram: Alhamdulillah, ini adalah kemenangan rakyat!

PEMBELA takkan terhenti di sini, penceroboh serta pelindung akan dipastikan dibawa ke muka pengadilan

 

KUANTAN, 8 Jamadilawal 1442H, Rabu – “Alhamdulillah!” Demikian tutur Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya sebaik sahaja keputusan berhubung kes pencerobohan tanah di Raub, Pahang diputuskan pagi tadi.

Mahkamah Tinggi Kuantan, hari ini menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri Pahang, Oktober lalu.

Peguam plaintif, Siew Choon Jern berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan dua alasan iaitu pertama, notis-notis pengusiran yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri bukan merupakan keputusan atau tindakan yang berada di bawah lingkungan semakan kehakiman.

Kedua, mahkamah berpendapat bahawa petani merupakan penceroboh terhadap tanah-tanah tersebut yang menjadikan mereka tidak mempunyai locus standi untuk memohon semakan tersebut.

Aminuddin yang gembira dengan keputusan itu berkata, ia adalah berkat doa setiap rakyat yang mengambil berat tentang isu ini dan menganggap ia penting demi kedaulatan negara.

“Mahkamah memutuskan pencerobohan itu satu tindakan yang salah dan tidak dibenarkan. Kami menunggu sejak jam 8.30 pagi tetapi tidak dibenarkan masuk ke dalam mahkamah. Ini satu perkara agak luar biasa terhadap kami. 

“Walaupun begitu, kami tetap bersyukur dengan ketidakbenaran kami masuk dalam mahkamah kerana keputusan hari ini menyebelahi, bukan PEMBELA, tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya dan rakyat Pahang khususnya,” katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berharap bahawa kes ini menjadi pengajaran kepada pihak berwajib dan berautoriti bahawa isu tanah ini adalah amat penting.

“Ini bukan satu isu yang boleh dibuat mainan. Keadilan dan peraturan undang-undang mesti dipatuhi dan mana-mana pihak yang menceroboh harus dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Pada masa sama, Aminuddin turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus mengikuti kes ini sehingga ia selesai bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

“Saya ingin menyatakan bahawa di sini ini bukan yang pertama dan terakhir kami di sini, kami akan terus ‘follow up’ bagi memastikan mereka yang menceroboh tanah ini, termasuk mereka yang melindungi penceroboh ini akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker