Jika COVID-19 masuk gelombang keempat, Kerajaan mungkin terpaksa meminjam



Sebaran :

KUALA LUMPUR: Kerajaan kemungkinan besar terpaksa melaksanakan suntikan dana melalui pinjaman sekiranya pandemik COVID-19 terus menular sehingga memasuki gelombang keempat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustafa Mohamed, berkata apa sekalipun tindakan diambil, keutamaan kerajaan ketika ini adalah terhadap soal keselamatan, kesihatan dan ekonomi rakyat serta negara.

Katanya, sekiranya gelombang keempat berlaku, kerajaan wajar untuk meminjam bagi menyelamatkan situasi buruk disebabkan impak COVID-19.



Namun, beliau berkata persoalannya kini adalah sebanyak mana negara perlu meminjam bagi tujuan suntikan dana pemulihan ini.

“Defisit fiskal negara ketika ini meningkat kepada lebih enam peratus, berbanding 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diunjurkan sebelum ini. Tahun hadapan kita menjangkakan defisit fiskal akan kembali turun.

“Nyawa dan ekonomi adalah keutamaan kerajaan. Namun, pada masa ini kita jangkakan krisis kesihatan ekonomi disebabkan pandemik COVID-19 akan kembali pulih pada 2021.



“Ini berdasarkan ketersediaan vaksin COVID-19 dan peningkatan ekonomi global,” katanya ketika program Bicara BH yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Berita Harian Online, hari ini.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed  pada program Bicara BH, Prospek Ekonomi 2021 di Balai Berita, Bangsar hari ini. -  NSTP/Rohanis Shukri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada program Bicara BH, Prospek Ekonomi 2021 di Balai Berita, Bangsar hari ini. – NSTP/Rohanis Shukri

 

Mustafa bagaimanapun berkata, situasi ketika ini sukar diramal bukan sahaja oleh Malaysia, tetapi negara lain di seluruh dunia.

Beliau memaklumkan, keadaan ini dinamik seperti apa yang berlaku ketika awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di mana kerajaan menjangkakan ia akan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu sahaja.



“Tetapi sehingga hari ini, kes penularan COVID-19 masih belum pulih sepenuhnya, begitu juga ekonomi. Kita harapkan keadaan akan stabil dan kembali pulih,” katanya.

Kerajaan dalam beberapa laporan sebelum ini menyatakan defisit fiskal negara akan dapat diturunkan secara berperingkat dalam jangka masa sederhana.

Semua langkah diumumkan dalam pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi negara yang membabitkan suntikan langsung fiskal berjumlah RM45 bilion adalah bersifat ‘one-off’ (sekali gus) dan tidak akan terus membebankan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam jangka masa sederhana dan panjang.



Kerajaan berkata, ia antara strategi bagi mengurangkan defisit fiskal dalam jangka masa sederhana secara berperingkat, seterusnya memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara kekal pada paras terkawal.

Kerajaan juga akan meneruskan langkah konsolidasi fiskal dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan kutipan hasil dan kecekapan perbelanjaan bagi mengukuhkan lagi kedudukan kewangan kerajaan.


Sebaran :


Leave a Reply