India lulus undang-undang halang penukaran agama pasangan berkahwin

Aktivis mengadakan tunjuk perasaan di Bangalore bagi membantah keputusan kerajaan India meluluskan undang-undang menghalang ‘jihad cinta’. - Foto AFP
Aktivis mengadakan tunjuk perasaan di Bangalore bagi membantah keputusan kerajaan India meluluskan undang-undang menghalang ‘jihad cinta’. – Foto AFP

 

NEW DELHI: India meluluskan undang-undang baharu melarang penukaran agama pasangan beragama Islam dan Hindu selepas berkahwin, walaupun mendapat kritikan pelbagai pihak.

Undang-undang itu bertujuan menghalang ‘jihad cinta’, didakwa dilakukan lelaki beragama Islam yang menjalin hubungan cinta dan mengahwini wanita beragama Hindu, kemudian memaksa mereka menukar agama.

Sejak undang-undang itu di perkenalkan, pasukan polis India sering menghentikan majlis perkahwinan membabitkan pasangan berlainan agama, terutama di Uttar Pradesh di mana sekurang-kurangnya 10 lelaki Islam ditahan.

Bagaimanapun, ‘jihad cinta’ dikatakan hanya teori konspirasi kumpulan pelampau Hindu yang mendakwa lelaki Islam sengaja mengajak wanita Hindu memeluk agama Islam menerusi perkahwinan.

Malah, kerajaan pusat pada Februari lalu mengakui tiada rekod rasmi menunjukkan berlakunya amalan seumpamanya, namun teori konspirasi itu terus mendapat perhatian pentadbiran pimpinan Parti Bharatiya Janata (BJP).

Awal minggu ini, polis menghentikan satu majlis perkahwinan membabitkan pasangan Islam di Kushinagar, Uttar Pradesh selepas menerima aduan kumpulan nasionalis Hindu dikenali sebagai Bajrang Dal.

Tindakan pihak berkuasa itu menimbulkan kebimbangan undang-undang ‘jihad cinta’ itu sebenarnya bertujuan menindas penduduk beragama Islam selain tiada masyarakat beragama Hindu ditahan di bawah undang-undang itu.

Sehari selepas undang-undang itu dikuatkuasa pada awal bulan ini, polis di bandar Lucknow secara ganas memaksa satu upacara perkahwinan antara wanita Hindu, Raina Gupta dan lelaki Islam, Mohammad Asif, dihentikan serta-merta.

Dalam kes lain, lelaki Islam, Owais Ahmad, ditahan minggu lalu dan dihukum penjara 14 hari kerana di dakwa cuba ‘memaksa’ seorang wanita Hindu memeluk agama Islam dan kahwin lari dengannya pada 2019.

Wanita itu kini dilaporkan sudah pun berkahwin dengan lelaki Hindu dan Owais memaklumkan dia enggan dikaitkan dengan wanita itu lagi.

Dalam satu lagi kes, Rashid, 27 dan abangnya ditahan polis pada minggu lalu di Moradabad selepas cuba mendaftarkan perkahwinan Rashid dengan seorang wanita Hindu berusia 22 tahun, Muskan Jahan, selepas memeluk agama Islam.

Ketiga-tiganya dibawa ke balai polis dan Rashid dipenjara di Uttar Pradesh atas dakwaan memaksa Muskan memeluk Islam, walaupun wanita itu menafikan dipaksa mana-mana pihak. – AGENSI

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker