Pasar mini Lan Solo dirompak
KUALA LUMPUR: Penyanyi, Lan Solo diuji apabila pasar mini, Solo Borneo Mart miliknya di Puchong Prima dirompak, petang semalam.
Ketika kejadian, Lan dan isterinya, Sheila Razlan tidak berada di pasar mini, sebaliknya sibuk dengan sesi latihan program muzikal Lawak Superstar musim kedua di Putrajaya.
Lan berkata, dia sudah membuat laporan polis selepas kejadian rompakan, petang semalam.
“Ketika kejadian, saya dan isteri sibuk dengan sesi latihan program muzikal Lawak Superstar musim kedua.
“Saya reda dengan dugaan Allah. Perompak kebas semua duit jualan, semalam. Mujur duit jualan sehari sebelum dan pagi semalam sudah dimasukkan ke dalam akaun bank,” katanya kepada BH Online.
Lan atau nama sebenarnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof berkata, perompak membuat kerja dengan pantas, dalam tempoh kurang tiga minit sahaja.
“Kejadian berlaku selepas waktu solat Asar. Memang orang kurang keluar masuk dalam pasar mini, ketika itu.
“Menerusi CCTV, perompak sangat bertindak berani. Ketika kejadian hanya kakitangan saya sahaja di kedai,” katanya yang juga peserta program Vokal Mania di TV3.
Lan berkata, dia sedar situasi pandemik COVID 19 memaksa segelintir manusia melakukan perkara yang terlarang.
“Benda sudah nak jadi, saya terima dengan hati terbuka, cuma kakitangan saya trauma. Bagi saya, duit boleh dicari, tetapi nyawa dan keselamatan kena dijaga.
“Kami mahu cari rezeki untuk keluarga. Saya percaya mustahil kejadian sama tidak akan berulang kerana pandemik COVID-19 membuatkan ramai orang terdesak.
“Apapun, terima kasih kepada mereka yang prihatin. Ini termasuk keluarga, jiran, peminat dan teman artis yang sudi mengungkap semula entri saya mengenai rompakan ini. Malah, pihak produksi Maharaja Lawak Superstar 2 turut membantu,” katanya yang membuka pasar mini Solo Borneo Mart dengan menjual produk makanan kering dari Sabah dan Sarawak sejak setahun lalu.