Mahathir dan Ku Li sama-sama berlakon: Siapa makan siapa

BANYAK pihak terkejut dan tergamam apabila melihat Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M) dan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) berkongsi pentas sidang media pada 14 Disember 2020.

Sebabnya dunia tahu hubungan politik Tun M dan Ku Li ibarat luka yang tidak boleh sembuh dan luka ini bermula tahun 1981 dan 1984, apabila Tun M secara sulit memainkan peranan menyokong Tun Musa Hitam sebagai calon Timbalan Presiden UMNO.

Walhal, Ku Li waktu itu Naib Presiden lebih senior daripada Tun M dan merupakan Naib Presiden nombor satu, manakala (Allahyarham) Tun Ghafar Baba nombor dua dan Tun M nombor tiga.

Ku Li beri laluan kepada Tun M menjadi Timbalan Presiden, maka setelah Tun M naik jadi Presiden, sepatutnya Ku Li Timbalan Presiden dan diberi laluan tanpa bertanding.



Inilah tradisi UMNO, namun Tun Musa cabar Ku Li untuk jawatan Timbalan Presiden pada tahun 1981 dan Ku Li terperangkap disaat akhir tanpa persedian. Katanya (khabarnya) di belakang Tun Musa adalah Tun M.

Ringkaskan cerita, Ku Li akhirnya lawan Tun M untuk jawatan Presiden pada pemilihan UMNO tahun 1987, manakala Tun Musa pula bergabung dengan Ku Li, di samping mempertahankan jawatan Timbalan Presiden melawan Tun Ghafar.

Adakah Tun Musa menjerat Ku Li, menyebabkan Ku Li lawan Tun M dan Ku Li pula memang sudah radang dengan permainan politik Tun M?


Akhirnya Tun Musa dan Ku Li tersungkur kedua-duanya.



Selepas Ku Li lawan Tun M untuk jawatan Presiden UMNO tahun 1987, yang berakhirnya UMNO diharamkan. Tun M tubuh UMNO baharu dan Ku Li ditutup pintu menyertai UMNO baharu.

Ku Li kemudian tubuh Parti Melayu Semangat 46 (S46) dan saya ikut serta, iaitu perjuangan untuk mengembalikan semula UMNO lama.

Dua kali Ku Li pimpin S46 lawan UMNO baharu pada tahun 1990 dan 1995, tetapi gagal.

Saya kembali kepada UMNO tahun 1992 atas pegangan wasiat (Allahyarham) Tun Hussein Onn, jika S46 gagal pada PRU 1990. Saya kembali semula ke UMNO demi perpaduan. Saya seorang sahaja dijemput oleh Tun M menyertai semula UMNO, tetapi tidak lain-lain peminpin S46 termasuk Ku Li.



Hanya selepas PRU 1995 baharulah Tun M berusaha minta S46 dibubarkan dan semua kembali kepada UMNO atas dasar perpaduan Melayu.

Tahun I997, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO. Mungkin inilah strategi Tun M berusaha agar S46 dibubarkan dan Ku Li diterima masuk UMNO. Bayangkan, jika S46 masih wujud ketika Anwar dipecat.

Masa berlalu dan politik Ku Li tetap statik dan tidak ada apa-apa peranan dalam kerajaan dan parti UMNO. Negara rugi besar apabila tokoh bersih, pengalaman, berkebolehan dan pengaruhnya di luar negara, terutama dalam bidang ekonomi antarabangsa tidak boleh dinafikan.

Saya selalu sebut Ku Li adalah ‘sebiji permata dalam tasik’. Ada pihak terlalu takut kepada Ku Li. Sebabnya Ku Li tidak boleh dipergunakan dengan mudah dan pendiriannya telus. Pendek kata susah sikit jika ada pihak mahu menyamun besar besaran jika Ku Li berkuasa.



Pandangannya dalam hal-hal ekonomi berbeza dengan lain-lain tokoh. Semua tahu Ku Li kurang bersetuju Malaysia mengeluarkan kereta Proton pada ketika itu. Tidak ada kuasa beli yang cukup dan kerajaan akan menanggung kos yang banyak dan bergantung sepenuhnya kepada teknologi Jepun. Ini antara satu contoh dari banyak lagi isu-lain lain.

Akhirnya, tinggallah Ku Li keseorangan dalam perjuangan politik. Ku Li tahu apa yang Tun M lakukan terhadap politiknya. Ada sahaja halangan. Pendek kata, Ku Li satu-satunya tiada dalam kamus politik Tun M.

Setelah sekian lama, ibarat kata perang dingin antara Tun M dan Ku Li, berkerat rotan dan berpatah arang, tiba-tiba mereka berdua duduk sepentas ketika sidang media di Yayasan Al-Bukhary di ibu negara pada 14 Disember lalu.

Ketika sidang media itu, kedua-duanya mengumumkan menolak bajet yang akan diundi pada 15 Disember 2020 di Parlimen bagi pusingan ketiga dan terakhir. Pada sidang media itu, Tun M yang banyak bercakap. Mereka berdua yakin bajet akan ditolak dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang.



Keputusannya 111 menyokong, manakala 108 tidak menyokong, maka Belanjawan 2021 lulus. Ku Li tidak hadir (berkecuali), dan Ku Li menyebut ketika sidang media, bahawa beliau tidak akan hadir atas alasan keabsahan kerajaan PN.

Selepas bajet diluluskan dengan undi 111, Tun M dan Ku Li diserang oleh cybertrooper dan banyak pihak lain dengan kata-kata kesat, kutuk, cemuh dan sebagainya. Apabila Tun M kena kutuk, saya faham dan tidak terkejut.

Tapi, Ku Li juga diserang kerana kata mereka Ku Li diperalat oleh Tun M. Ku Li tidak sedar diri sebab berpuluh tahun beliau dihalang dan diperlekeh oleh Tun M, tiba-tiba seolah melutut kepada Tun M. Inilah kata-kata dan persepsi orang ramai.


Saya percaya persepsi ini tidak tepat dan tidak betul sama sekali terhadap Ku Li. Beliau hadir sidang media atas jemputan Tun M mengenai isu menolak bajet kerajaan PN dan Ku Li menolak kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.



Kehadiran Ku Li tidak bermakna Ku Li sudah bergabung dan bersama dengan kelompok politik Tun M. Tun M pun tidak sebut Ku Li juga layak sebagai Perdana Menteri.

Ku Li pun sebut beliau tidak akan hadir untuk mengundi. Ku Li menyatakan kebimbangannya situasi negara masa kini, apatah lagi ancaman Covid-19. Ku Li tidak yakin dengan kepimpinan kerajaan PN yang ada sekarang.

Kalau Ku Li bergabung politik dengan Tun M tentu Ku Li hadir ke Parlimen untuk mengundi bersama Tun M menolak bajet. Ku Li berkecuali dengan tidak menghadirkan diri ke Parlimen ketika mengundi. Pada Ku Li, telan mati emak, luah mati bapa.

Ini semua “political game”. Pasti Ku Li ada pendiriannya terhadap Tun M yang tidak akan berubah dan Tun M pun tidak akan mempercayai Ku Li kerana masing-masing tahu apa yang tersirat dalam diri masing-masing.

Maka biarlah mereka berdua beraksi kerana asam di laut, ikan di darat dikatakan bertemu dalam kuali. Ini bukan asam dan ikan, ini singa dan harimau. Mereka bertemu kerana cuaca panas, singa dan harimau berusaha bersama untuk mencari tempat berteduh sekejap.

Pandangan saya ini adalah secara peribadi, bukan atas nama Presiden Putra. Banyak pihak tahu bahawa saya akrab dan rapat dengan Ku Li dan kemudian dengan Tun M sekian lama.

Maka, pandangan saya ini adalah atas pengalaman saya mengenali dua tokoh ini mengikut pengamatan saya. Buat apa pun, mereka berdua tidak akan bertemu dalam kuali. Jadi, tidak perlu bising-bising pukul gendang tanpa rentak.

Ibrahim Ali

Jangan terpengaruh pelawaan Dr M sertai PPBM, Ku Li nasihat ahli Umno

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker