Saya rindu GST, kata Ahli Parlimen PH Tebrau

Seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) berkata beliau merindui cukai barang dan perkhidmatan (GST), memberitahu Dewan Rakyat sistem percukaian itu lebih baik daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang digunapakai sekarang.

Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong berkata, satu perkara yang baik mengenai GST adalah ia lebih mudah dipantau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam selain lebih “sukar” untuk pengguna “melarikan diri” daripada membayar cukai.

“Sebagai seorang akauntan, saya masih merindui GST. Walaupun Akta Cukai Jualan 2018 sudah dilaksanakan, pada saya, sistem GST lebih baik,” kata beliau ketika membahaskan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020.

Bekas timbalan menteri kewangan Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata, kenyataan Chong “sangat menarik” kerana Persatuan Pekilang-Pekilang Malaysia berkata GST patut dikembalikan.



Wong Chen (PH-Subang) kemudian berkata, Putrajaya patut memperkenalkan semula GST pada kadar lebih rendah, 3% jika ia benar-benar mahu memperkenalkan semula sistem cukai itu.

Katanya, pelaksanaannya juga perlu dilakukan dalam jangka masa minimum lima tahun bagi membolehkan vendor dan pengguna memahami sistem cukai baharu itu.

“Berdepan dengan Covid-19 adalah jelas kerajaan perlu satu sistem cukai penggunaan yang lebih stabil daripada SST agar pendapatan kerajaan stabil dan boleh dipertahankan.



“Jika GST diperkenalkan semula, kerajaan patut pastikan polisi cukai pendapatan dipinda menjadikan ia lebih progresif, bantuan kewangan dipertingkatkan dan gaji minimum dinaikkan ke tahap upah wajar,” katanya.

Wong Chen berkata, beliau selesa jika GST diperkenalkan semula dan akan meneliti butiran sistem percukaian dahulu.

Beliau berkata, pengenalan semula GST juga tidak sepatutnya membebankan golongan miskin.

Timbalan Menteri Kewangan Abdul Rahim Bakri berkata, Putrajaya akan mengkaji cadangan yang dikemukakan itu.



Katanya, keutamaan adalah untuk meningkatkan pendapatan kerajaan tanpa membebankan rakyat. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker