Perak : Hasnul bakal dipecat?
Keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dalam PPBM gugur secara automatik jika terbukti tidak menyokong usul undi percaya terhadap menteri besar Perak dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), 4 Disember lalu.
Setiausaha Agung PPBM Hamzah Zainudin berkata, sudah termaktub dalam perlembagaan parti, sesiapa sahaja yang tidak bersama dalam agendanya maka keahlian akan gugur secara automatik.
“Mungkin lepas ini UMNO Perak akan hantar bukti-bukti kepada kita (Hasnul Zulkarnain tidak menyokong usul), kalau terbukti maka dia tergugur dengan sendirinya. Tindakan sama seperti yang kita pernah lakukan di peringkat nasional, tidak boleh bezakan bahagian atau negeri,” katanya.
Beberapa portal berita memetik Hasnul Zulkarnain sebagai berkata beliau sedang menanti tindakan daripada PPBM selepas didakwa menolak undi percaya terhadap Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Perak pada 4 Disember lalu.
Hasnul Zulkarnain menyertai PPBM pada 3 Jun lalu. Sebelum itu, beliau merupakan wakil rakyat bebas selepas meninggalkan Amanah pada 9 Mac susulan penjajaran politik di Perak yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pemerintahan daripada Pakatan Harapan (PH).
Selain itu, Hamzah, yang juga Ahli Parlimen Larut, berkata cadangannya supaya satu gagasan besar ditubuhkan bersama antara gabungan PN, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dibuat berdasarkan fakta dan perasaan terbuka.
“Apabila saya lakukan ini, tidak timbul orang kata saya bangkitkan isu-isu ada ‘orang kecil makan besar’, kerana masing-masing ada tanggungjawab untuk damaikan dan satukan parti-parti yang ada,” katanya.
Beliau mengulas reaksi Naib Presiden UMNO Mohamed Khaled Nordin yang berkata penubuhan gabungan selepas gabungan tidak diperlukan kerana ia hanya strategi survival untuk mendapat kekuatan daripada sokongan parti terbesar.
Sebaliknya, Mohamed Khaled berkata PN, BN dan GPS mesti membina kekuatan melalui undi dan mandat rakyat dalam pilihan raya umum. FMT
Hasnul sokong usul Umno Perak, Bersatu ‘tunggu’ bukti
You must be logged in to post a comment.