Mutasi baru COVID-19: Arab Saudi, Kuwait, Oman tutup sempadan

Virus jenis VUI-202012/01 lebih mudah berjangkit antara individu

RIYADH, 7 Jamadilawal 1442H, Selasa – Arab Saudi, Kuwait, dan Oman menutup sempadan  dan menangguhkan penerbangan komersial kerana bimbang terhadap mutasi baharu virus COVID-19 – VUI-202012/01, kata tiga negara Arab Teluk itu.

Arab Saudi menutup sempadan darat dan lautnya pada hari Ahad dan menangguhkan penerbangan komersial antarabangsa selama seminggu, manakala penerbangan asing yang sudah ada di negara itu dibenarkan berlepas, kata Kementerian Dalam Negeri.

Bagaimanapun, langkah-langkah itu tidak dikenakan untuk pergerakan barang dari negara-negara di mana strain COVID-19 baru itu belum muncul, kata kementerian yang disiarkan agensi berita negeri SPA.

Sementara Kuwait pula akan menangguhkan semua penerbangan komersial dan menutup sempadan darat dan lautnya dari 11 malam pada hari Isnin hingga 1 Januari, kata pejabat komunikasi kerajaan. Namun, operasi kargo akan berterusan, tambahnya.

Di Oman, sempadan darat, udara, dan laut akan ditutup selama satu minggu mulai Selasa, lapor televisyen negara.

Beberapa negara menggantung sementara perjalanan ke Britain setelah Perdana Menteri Boris Johnson mengatakan virus baru yang sedang menular adalah bahaya.

Terdahulu, Agensi Kesihatan Awam England (PHE) berkata, mutasi baharu itu boleh menyebabkan virus berkenaan lebih mudah berjangkit antara individu.

Namun, belum ada sebarang bukti menunjukkan mutasi baharu COVID-19 itu menyebabkan penyakit dialami lebih teruk, memberi kesan pada tindak balas antibodi atau keberkesanan vaksin. – Agensi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker