Pendakwah selebriti didakwa rogol, tuduhan ketiga hari ini
Pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful didakwa buat kali ketiga petang ini dengan terkini di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan. merogol seorang wanita.
Tertuduh berusia 25 itu mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bilik beralamat No E-04-23, Hyde Tower, I-City, PSN Multimedia, Seksyen 7 di sini, kira-kira jam 11.35 malam, 11 September 2019.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd Saubian tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas alasan kesalahan dilakukannya serius dan dikhuatiri akan mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
“OKT (orang kena tuduh) mengenali dan mempunyai ‘contact’ mangsa, yang mana dia boleh menghubungi mangsa pada bila-bila masa dan ini mendatangkan risiko gangguan pelbagai bentuk kepada mangsa serta saksi pendakwaan lain dari segi keselamatan dan emosi, yang boleh mengganggu kualiti keterangan dan kelancaran di mahkamah kelak.
“Mahkamah juga perlu melihat kemungkinan OKT melakukan kesalahan sama atau kesalahan lain pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, peguam tertuduh, Syed Amirul Syed Edrus, berkata tiada risiko untuk anak guamnya melarikan kerana dia figura awam dikenali dan memberi kerjasama baik kepada polis ketika dipanggil untuk memberi keterangan, malah memandu arah polis ke kediamannya di Damansara Perdana bagi membantu siasatan untuk tujuan forensik.
“Berhubung OKT mempunyai maklumat mangsa, ia belum boleh dijadikan keterangan dan berdasarkan andaian semata-mata. Selain itu, kedua-dua telefon bimbit OKT juga sudah dirampas, jadi isu itu tidak relevan untuk dibangkitkan.
“Selain itu, penjamin yang dicadangkan ialah pengurus OKT yang tinggal berdekatan OKT, jadi penjamin boleh memastikan kehadiran OKT pada bila-bila masa.
“Mengenai kepentingan awam, jika OKT melakukan perkara membahayakan, sesiapa saja boleh membuat laporan baharu dan ini adalah perkara terakhir yang dimahukan mangsa,” katanya.
Syed Amirul turut memohon jika jaminan dibenarkan, jumlah jaminan tidak terlalu tinggi kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap terutama sejak empat bulan lalu disebabkan penularan COVID-19, perlu menyara ibu serta abangnya yang juga orang kelainan upaya (OKU) selepas mengalami kemalangan, selain masih belum dapat menyelesaikan jumlah jaminan sebanyak RM25,000 bagi dua tuduhan terdahulu, hari ini kerana tidak mempunyai wang yang cukup.
Hakim Rofiah kemudian membenarkan mangsa diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta tiga syarat, iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap 1 hari bulan setiap bulan bermula 1 Januari depan.
“Selain itu, OKT sendiri sama ada melalui keluarga atau sesiapa saja sebagai proksi dilarang sama sekali untuk mendekati, berjumpa, berhubung atau apa-apa cara komunikasi dengan mana-mana saksi termasuk pengadu dalam kes ini sepanjang masa sehingga kes ini selesai.
“Jika mana-mana syarat ini dilanggar, pendakwaan boleh mengemukakan permohonan bagi keputusan ini dipertimbangkan semula,” katanya.
Hakim Rofiah turut menetapkan 25 Januari depan bagi sebutan semula kes.
Dalam perkembangan sama, Syed Amirul ketika ditemui media berkata, anak guamnya akan ditahan buat sementara waktu di lokap polis di Beranang sehingga proses ikat jamin selesai pada Selasa ini.
Terdahulu, tertuduh yang memakai kemeja-T biru tiba di mahkamah kira-kira 3 petang dan sempat mengucapkan terima kasih kepada wakil media yang menunggu sejak 9 pagi, sebelum memasuki bilik mahkamah.
Pagi tadi, Syed Shah Iqmal berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Petaling Jaya, iaitu melakukan persetubuhan luar tabii dan menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan seorang pelajar wanita.
Dia turut mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas pertuduhan berkenaan.
Dia turut mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas pertuduhan berkenaan.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM20,000 bagi tuduhan pertama dan RM5,000 bagi tuduhan kedua, dengan seorang penjamin. BH
You must be logged in to post a comment.