Alangkah baik PP sumbang kewangan kepada Kedah yang berkorban

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyarankan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk ‘menyumbang’ dalam bentuk kewangan kepada Kerajaan Negeri Kedah.

Ini kerana, menurut Tuan Ibrahim, Kerajaan Negeri Kedah telah berkorban dari segi ekonomi kerana tidak meneroka kawasan hutan yang menjadi tempat tadahan air bagi membekalkan sumber air ke Pulau Pinang.

Beliau yang menjawab solahan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar berkaitan rancangan Kerajaan Negeri Kedah untuk melombong Rare Earth Element (REE) memaklumkan, Kerajaan Negeri Kedah melalui Menteri Besar Muhammad Sanusi Md. Nor telah memberi jaminan tidak akan meneroka kawasan tadahan air.

“Kerajaan Kedah berkorban untuk tidak meneroka kawasan tersebut. Untuk makluman hingga setakat ini saya baru mengesahkan dengan Menteri Besar Kedah bahawa dia memberi jaminan kawasan tadahan air tidak akan diterokai.

“Atas pengorbanan besar Kerajaan Kedah alangkah baiknya kalau Pulau Pinang yang mendapat manfaat yang banyak itu boleh memberi dan menyumbang dalam bentuk kewangan kepada negeri Kedah yang telah korbankan hutan daripada kawasan tadahan air untuk memastikan negeri-negeri yang memerlukan dapat terjamin sumber bekalan air,” kata Tuan Man.

Justeru katanya, Kementerian bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi memastikan kelangsungan kawasan sumber air dapat dipelihara dengan selamat.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, sehingga kini Jabatan Aalam Sekitar masih belum menerima sebarang permohonan untuk kelulusan laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi aktiviti perlombongan rare earth element atau REE di Kedah.

Katanya, aktiviti perlombongan REE adalah di bawah kawalan dan pemantauan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.

Dalam soalannya, Nurul Izzah meminta langkah Kementerian untuk melindungi Ulu Muda yang menjadi sumber air mentah bagi keperluan 4.2 juta rakyat Kedah, Perlis dan Pulau Pinang daripada kesan pencemaran toksik sekiranya penerokaan REE di Kedah seluas 163,000 hektar diteruskan.

Media sebelum ini melaporakan, Kerajaan negeri Kedah telah meluluskan permit kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kerja-kerja penerokaan mineral baharu bernilai kira-kira RM60 bilion di Kedah.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, mineral daripada jenis Unsur Nadi Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) tersebut dijangka mampu mendatangkan pendapatan lumayan kepada hasil negeri sekali gus boleh digunakan untuk pembangunan serta kesejahteraan rakyat. SM

Alangkah baik ‘penasihat’ Muhyddin ingatkan dia tentang angka – Ahmad Maslan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker