DUN Melaka lulus Belanjawan 2021

AYER KEROH: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini sebulat suara meluluskan Belanjawan Negeri 2021 bagi membolehkan agenda pembangunan kerajaan negeri khususnya dalam mendepani pandemik Covid-19, dapat diteruskan.

Rang Undang-Undang Perbekalan (2021) 2020 yang memperuntukkan sejumlah RM445.86 juta itu dibentang dan dibahaskan selama dua hari sejak semalam membabitkan 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di pihak kerajaan dan pembangkang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika menggulung perbahasan berkata, bajet mengurus pada kali ini meningkat susulan langkah kerajaan mengutamakan pemberian kepada rakyat dalam mendepani impak pandemik COVID-19.

“Bajet mengurus meningkat, iaitu belanja operasi sebanyak 74.68 peratus, pindahan kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak 12.05 peratus, bantuan kepada rakyat 13.11 peratus dan belanja lain 1.16 peratus.

“Pada tahun 2020, Kerajaan Negeri menyediakan sejumlah RM27.05 juta manakala bagi tahun 2021 Kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM54.54 juta untuk menampung pelbagai inisiatif kepada rakyat,” katanya.

Semalam, Sulaiman membentangkan Belanjawan Negeri 2021 berjumlah RM445.86 juta dengan hasil negeri dianggarkan RM445.96 juta yang mencatatkan lebihan kali ke-17 berturut-turut sejak tahun 2005.

Bertemakan ‘Melaka Rumahku: Merangka Ekonomi, Membahagiakan Rakyat, Menggamit Dunia’, belanjawan surplus tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak RM55.96 juta atau 14.32 peratus berbanding RM390.22 juta pada 2020.

Sulaiman pada ucapan penggulungannya turut mengumumkan peruntukan tambahan secara ‘one-off’ sebanyak RM 60,000 kepada semua 11 Adun pembangkang.

“11 Ahli Yang Berhormat di ‘seberang sana’ pun ‘percaya’ bahawa, belanjawan kali ini amatlah penting, untuk diterjemah dan disampaikan segera inisiatifnya, tatkala negeri ini, malah di serata dunia, masih bergelut dengan penularan pandemik COVID-19.

“Seperti dicadangkan wakil pembangkang, saya setujulah untuk peruntukan ditambah secara ‘one-off’ kepada RM 60,000 bermakna RM 5,000 sebulan pada tahun hadapan,” tambahnya.

Terdahulu, 17 Adun kerajaan menyokong usul dibentangkan Sulaiman manakala 11 Adun pembangkang berkecuali dan persidangan akan bersambung semula esok.

 

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker