15 keluarga Orang Asli ‘lari’ ke hutan takut dijangkiti Covid-19

Johor Bahru: Sekumpulan masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Simpang Arang di Iskandar Puteri didapati melarikan diri dari kampung mereka sendiri sejak dua hari lalu, gara-gara khuatir dijangkiti Covid-19.

Kumpulan 15 keluarga itu bertindak demikian selepas mendapat tahu mengenai seorang guru agama di kampung mereka disyaki positif virus berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (JPKD) Kota Iskandar Pandak Ahmad berkata, pihaknya mendapat tahu mengenai perkara itu semalam dan sudah meninjau keadaan di kawasan hutan berhampiran yang dijadikan penempatan mereka.

“Kita dapati kira-kira 40 orang termasuk kanak-kanak dan bayi membabitkan 15 keluarga itu sudah berpindah ke kawasan hutan bakau berhampiran kerana bimbang dijangkiti Covid-19.

“Kita sudah beritahu mereka individu (guru agama) itu sudah menjalani saringan dan keputusannya disahkan negatif. Jadi, kita dalam usaha untuk memujuk mereka supaya kembali ke kampung,” katanya.

Menurut Pandak, pihaknya bersama penghulu mukim dan Tok Batin sekali lagi membuat lawatan dan tinjauan ke kawasan berkenaan hari ini dan mendapati kawasan hutan yang menjadi tempat tinggal mereka tidak selamat terutama kepada kanak-kanak serta bayi.

“Selain itu, faktor cuaca dan tempat tinggal yang mereka dirikan sekadar khemah sementara dan bangsal tinggal itu juga didapati tidak sesuai dan selamat untuk diduduki,” katanya.

Pandak berharap masyarakat Orang Asli yang terbabit akan segera berpindah semula ke kampung mereka.

Difahamkan terdapat lebih 800 orang yang mendiami kira-kira 180 rumah di Kampung Orang Asli Simpang Arang.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker