Fitch turunkan penarafan Petronas dari A- ke BBB+

Fitch Ratings menyemak turun Penarafan Mungkir Penerbit (IDR) mata wang asing dan tempatan jangka panjang Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kepada ‘BBB+’ daripada ‘A-‘, dengan unjuran stabil.

Menerusi kenyataan hari ini, Fitch menjelaskan langkah penarafan itu adalah susulan semakan turun IDR Malaysia kepada ‘BBB+’ daripada ‘A-‘ pada 4 Dis, 2020 dengan unjuran stabil.

Menurut agensi penarafan itu, Petronas menyumbang lebih 15 peratus daripada hasil kerajaan sejak lima tahun lepas.

“Fitch akan menyamakan penarafannya dengan penarafan negara walaupun jika profil kredit kendiri (SCP) susut di bawah penarafan negara selagi syarikat secara mampan menjana lebih 10 peratus daripada hasil kerajaan, sejajar dengan kriteria kami bagi penarafan entiti berkaitan kerajaan,” menurutnya.



Ia menjelaskan, semakan turun itu berikutan kaitan ‘kukuh’ dengan negara, antara lain, memandangkan pemilikan 100 peratus oleh kerajaan memberi pengaruh ketara ke atas Petronas, walaupun ia kurang terlibat secara langsung dalam operasi, pembiayaan dan pelaburan syarikat.

“Petronas memperoleh manfaat daripada hak eksklusif ke atas rizab minyak dan gas Malaysia mengikut undang-undang. Petronas tidak memerlukan sokongan kewangan yang nyata dan kami menjangkakan sokongan kewangan akan ada sekiranya diperlukan,” menurut agensi penarafan itu.

Menurut Fitch, SCP Petronas kekal baik memandangkan pihaknya menjangkakan syarikat minyak itu dapat mengekalkan profil kewangan yang kukuh walaupun wujud kelembapan dan gangguan ekonomi berikutan pandemik Covid-10.

“Kami mengunjurkan volum huluan Petronas susut kira-kira 4.0 peratus pada 2020 susulan permintaan yang lemah. Kami menjangkakan volum jualan gas asli cecair, petroleum hiliran dan petrokimia berkurangan 2.0 peratus hingga 3.0 peratus pada tahun ini,” katanya.



Menurut Fitch, pemulihan ekonomi yang berperingkat dijangka menyokong peningkatan semula permintaan terhadap produk gas dan petroleum dengan volumnya kembali mencecah paras sebelum berlakunya pandemik bagi tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang, walaupun risiko penurunan kekal ada.

Mengenai kesan Covid-10, agensi penarafan itu menjangkakan keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) Petronas berkurangan kira-kira 40 peratus pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020 daripada RM87.4 bilion pada 2019, ekoran permintaan suram, harga minyak dan gas yang rendah serta tebaran produk yang lemah.

“Akibatnya, defisit aliran tunai bebas Petronas selepas perbelanjaan modal dan dividen akan meningkat pada 2020, walaupun rancangan untuk mengurangkan perbelanjaan modal 2020 sewajarnya menyokong kesannya,” menurut Fitch.
Bernama

Fitch Ratings turunkan penarafan Malaysia kepada ‘BBB+’



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker