[VIDEO] Pengantin Dicabul Pada Majlis Perkahwinan
Tashkent: Malang bagi seorang pengantin wanita di Uzbekistan apabila kehormatannya dicabul selepas keluarga suaminya membuat pemeriksaan demi memastikan sama ada dia masih anak dara.
Menurut portal Eva.vn, insiden berlaku di Urgench, wilayah Khorezm, barat Uzbekistan selepas pasangan itu diraikan dalam majlis penuh meriah mengikut adat perkahwinan masyarakat setempat.
Sebaik majlis selesai, keluarga pengantin lelaki tiba-tiba mempertikaikan kesucian wanita itu sebelum memaksanya masuk ke bilik dan menanggalkan pakaian dalamnya.
Perlakuan tidak bermoral itu dilakukan saudara-mara wanita lelaki itu sambil dirakam dengan kamera telefon bimbit.
Pengantin wanita itu berusaha melindungi dirinya namun kudratnya terbatas dan dia hanya mampu menangis teresak-esak.
Lebih menyakitkan hati, dia dikecam kerana tidak mempertahankan kesuciannya sebelum bernikah namun tiada siapa mahu membelanya termasuk suami yang baru dinikah.
Malah, keluarga pengantin lelaki itu mengugut wanita terbabit supaya membayar kos perbelanjaan majlis perkahwinan mereka bernilai 50 juta Som (RM19,466) jika tidak mahu video pemeriksaan kesuciannya itu disebarkan ke media sosial.
[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=t-JKbf3Cai0[/embedyt]
Susulan kejadian, polis menahan mereka yang terbabit.
Siasatan lanjut dilakukan selepas keluarga pengantin wanita membuat laporan polis kerana tidak tahan dengan ancaman dan tuduhan palsu dilemparkan.
Sementara itu, bapa tiri wanita itu mendedahkan, pengantin lelaki pernah ditahan kerana kes rogol dan rahsia itu baru diketahui selepas pernikahan pasangan itu.
Dalam pada itu, ramai warganet mengecam kejadian itu, malah kebanyakannya membuat andaian insiden itu cuma helah keluarga pengantin lelaki untuk memeras ugut wanita terbabit.-HM