Ahli UMNO diasuh membunuh parti sendiri
Oleh Cikgu Kamarul
Suara Khatib yang baru hendak memulakan khutbah berkumandang di udara sebaik saja saya tiba di situ. Alhamdulillah sampai juga saya ke sebuah masjid di pertengahan jalan menuju ke UITM Lendu. Saya berlari-lari anak kerana sudah sedikit terlewat untuk menunaikan solat Jumaat pada hari itu.
Sesudah mengambil wudhu, saya segera melangkah masuk. Sungguh cantik dan mendamaikan. Saya merenung wajah anak-anak yang sedang khusyuk mendengar khutbah Jumaat yang disampaikan. Mereka merupakan para pelajar di Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab itu. Mujurlah ada masjid itu yang boleh saya singgah untuk menunaikan solat.
Pusat pengajian ini telah diasaskan penubuhannya oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan didirikan atas tanah milik keluarga Datin Seri Hamidah Khamis, isteri Datuk Seri Zahid Hamidi sendiri yang diwakafkannya untuk pembinaan pusat pengajian Islam ini.
Ketika itu jua fikiran saya melayang teringatkan Omar, seorang doktor gigi berbangsa Pakistan yang dibesarkan di England yang saya kenali di Manchester, England satu ketika dahulu. Omar tinggal di sebuah rumah agam yang satu ketika dahulu dakwanya dimiliki oleh Karl Marx. Katanya disitulah Marx mula menulis buku Das Kapital yang terkenal itu.
“Di zaman ini kita tidak lagi dapat membezakan antara fitnah dan kebenaran. Sungguh malang. Di mana saja, ada musuh Islam yang cuba menghancurkan kita. Dengan kecanggihan teknologi yang mereka kuasai, mereka tidak perlu datang dengan bala tentera untuk menawan kita. Mereka hanya menyebarkan berita palsu di alam maya, maka dengan sekelip mata pemimpin kita akan ditentang oleh rakyat sendiri.”
Omar membuka mata saya kepada banyak kekurangan bangsa sendiri. Hakikatnya siapa sahaja yang menjadi Presiden UMNO akan ditentang habis-habisan oleh ahli-ahli sendiri. Sejak di zaman Tunku Abdul Rahman lagi. Baik Hussein, Pak Lah, Najib dan kini Zahid semuanya menjadi sasaran musuh Islam. Malangnya ramai tidak sedar ini semua. Kita baru saja insaf dengan kesilapan mempercayai fitnah terhadap Datuk Seri Najib yang begitu banyak berjasa kepada negara. Kini kita diheret semula dalam gelanggang baru untuk membenci Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Apakah kita tidak mahu belajar dari kesilapan?
Siapa yang memulakan kebencian dan fitnah terhadap Zahid jika tidak musuh yang sama? Mereka yang menyalakan api kebencian terhadap Presiden dan kita pula termakan hasutan mereka.
Ada ramai ahli UMNO sering mendakwa bahawa parti ini kuat dan tidak bisa digugat oleh sesiapa. Betapa mereka silap kerana dalam kalangan mereka pun ada yang telah diasuh secara halus melalui media sosial untuk berkonfrantasi dengan institusi Kepresidenan UMNO. Mereka secara tidak sedar menjadi agen kepada keruntuhan parti sendiri dan gagal mempertahankan institusi Presiden UMNO. Ada baiknya mereka belajar dari DAP. Ahli ahli DAP begitu bersatu dengan barisan pemimpin mereka walau apapun terjadi. Bagi mereka apabila rosak pemimpin maka rosaklah parti dan bangsa. Orang Cina ada pepatah yang mengatakan ‘ikan rosak dari kepala.’ Itulah yang mereka dakyahkan semasa Najib menjadi Presiden. Mereka serang Najib habis-habisan. Akhirnya UMNO rebah.
Adakah kita tidak sedar bahawa di zaman Najib dan Zahid banyak usaha dan bantuan telah diberikan dalam usaha menegakkan syiar Islam. Pada Januari 2016 Zahid dalam ucapannya menyebut bahawa banyak sekolah sekolah tahfiz akan dibuka dengan bantuan kerajaan dan swasta. Beliau turut menyarankan agar satu bentuk kurikulum yang standard dibentuk bagi sekolah sekolah tahfiz ini. Inilah yang dibimbangkan oleh musuh-musuh Islam. Sepatutnya kita jangan mudah tergoda dan terjebak dalam rancangan memusnahkan agama dan bangsa sendiri. Ada dalam kalangan musuh yang cuba menyampai propaganda bahawa Zahid tidak layak menjadi Presiden. Sedangkan beliau merupakan satu satunya Presiden UMNO yang memegang ijazah doktor falsafah (PhD). Beliau juga melalui pengalaman dan jawatan politik yang luas.
Saya pernah berada dalam satu mesyuarat ketika berada bersama musuh UMNO di mana seorang pemimpin mereka menyebut bahawa “Kita akan pastikan bahawa apabila Najib jatuh, Zahid akan tersungkur bersama nya. Kita akan pastikan Zahid tidak boleh bangun. ”
Setiap kali musuh mengatur agenda menjatuhkan Presiden UMNO, mereka merencana slogan yang menaikkan kemarahan ahli-ahli dan orang-orang Melayu. Itulah kebijaksanaan mereka. Presiden UMNO perlu di jatuhkan oleh ahli UMNO sendiri. Propaganda menjatuhkan Tunku Abdul Rahman ialah ‘Tunku lebih mengutamakan kaum Cina’ , Hussein Onn ‘lemah dan tidak sihat’ , Pak Lah ‘suka tidur dan Budak Tingkat 4’ , Najib ‘merompak 2.6 Billion dan 1MdB’. Kini Zahid juga diserang dengan slogan ‘tidak layak memimpin UMNO kerana kes rasuah’.
Ada juga segelintir ahli yang terperangkap dalam permainan melaga-lagakan Datuk Seri Zahid dengan pemimpin UMNO yang lain. Yang jelas musuh UMNO menggeruni Zahid kerana sikap tegasnya. Jelas Dengan Zahid dan Najib, UMNO akan bangkit semula.
Omar pernah berkata kepada saya “Ketika FITNAH telah menjelajah hampir seluruh dunia, KEBENARAN baru hendak memakai kasut’
Kunci kepada survival UMNO ialah perkukuh dan pertahankan Institusi Presiden UMNO.
You must be logged in to post a comment.