Krisis MB Perak bukan isu nasional tapi isu tempatan – Annuar Musa

Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa hari ini memaklumkan, kemelut menteri besar di Perak susulan tindakan ADUN Umno menolak usul percaya terhadap Ahmad Faizal Azumu di DUN Perak bukanlah isu nasional, sebaliknya isu tempatan.

Annuar berkata, tindakan majoriti ADUN Umno yang menolak usul percaya terhadap timbalan presiden PPBM itu juga tidak dibincangkan secara formal oleh parti dan gabungan BN, sebaliknya ia diputuskan sendiri wakil-wakil rakyat di Perak.

“Saya berharap ia dapat ditangani dengan baik supaya keadaan tidak menimbulkan ketidakstabilan, perpecahan dan harap ia dapat diuruskan secara keluarga dan dalam semangat Perikatan Nasional,” katanya dalam sidang media, di PPR Kerinchi, hari ini.

Pentadbiran Ahmad Faizal Azumu, tumbang selepas beliau hilang sokongan majoriti wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri, apabila usul undi percaya dibentangkan untuk undian belah bahagi pada pagi semalam.



Sebanyak 48 ADUN tidak menyokong berbanding 10 yang menyokong dan 1 undi rosak.

Annuar berkata, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turut bertindak turun ke Perak untuk mengadakan pertemuan dengan pimpinan tertinggi Umno negeri berkenaan, bagi mendapatkan maklum balas dan kedudukan terkini di negeri berkenaan.

“Apabila ada isu politik berlaku, akan ada keresahan. Jika ia berlaku maka pimpinan perlu uruskan dengan baik dan ia masih perlu diuruskan dalam semangat Muafakat Nasional dan PN. Kita sedang membuat konsultasi.

“Ahmad Zahid turut turun di Perak untuk berjumpa badan perhubungan Umno negeri bagi mendapatkan maklum balas berkenaan. Tidak banyak yang saya dapat komen mengenai perkara ini,” katanya.



Mengulas mengenai ketetapan PAS bahawa parti berkenaan tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan baharu di Perak, Annuar berkata reaksi parti Islam itu adalah perkara biasa.

“Tidak mengapa, saya fikir setiap parti memberi reaksi awal masing-masing, ia baru berlaku semalam dan kenyataan itu juga dikeluarkan semalam. Selepas ini, pemimpin parti perlu duduk bersama bagi uruskan keadaan itu.

“Ini masalah di Perak dan ia terkait dengan batang tubuh bekas menteri besar Perak. Ada perkara yang kita boleh dengar diluar, ada perkara yang tidak boleh dibincangkan di khalayak. Saya percaya pucuk pimpinan PN akan duduk dan bincang baik-baik,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis penyerahan bakul makanan di PPR Kerinchi, Lembah Pantai, hari ini.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker