UMNO Dan Pas Sudah Kuat, Tidak Perlu Bersatu – Khaled Nordin
CYBERJAYA: UMNO dan Pas sudah mempunyai kekuatan tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
“Sebenarnya, UMNO dan Pas adalah kekuatan yang mencukupi. Yang selebihnya, akan menyebabkan ‘the space is a little bit too crowded’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas Menteri Besar Johor itu mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dua hari lalu yang mendakwa tidak timbul isu parti mana yang lebih dominan jika gabungan Bersatu, Pas dan UMNO dibentuk bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Politik hari ini harus dilihat dari sudut semasa, jangan terikut-ikut kerangka politik lama dahulu yang akan membuatkan kita sukar untuk bergerak kerana apa yang penting kini rakyat didahulukan,” katanya dipetik Bernama.
Khaled berkata kenyataan sedemikian hanya datang dari mereka yang gagal memahami hakikat politik nasional, tidak sensitif dan malas berusaha untuk mengangkat dan melindungi orang Melayu.
Beliau juga mendakwa pihak yang berusaha memencilkan pengaruh UMNO adalah mereka yang sebenarnya lemah dan tidak mempunyai kekuatan untuk ditawarkan kepada bangsa Melayu di Malaysia.
“Mereka sekadar sedar politik Melayu itu penting, tetapi tidak mempunyai sebarang agenda untuk menjayakannya. Cadangan dan pandangan sebegini tidak wajar, dan tidak seharusnya berterusan,” katanya lagi.
PPBM dulu curi ahli parlimen, sekarang umpan parti komponen – Khaled
Khaled juga mengingatkan bahawa UMNO sebagai sebuah parti politik Melayu tertua dan terbesar, tidak akan memadamkan mandat dan tugasnya sebagai parti nasionalis terbesar dan teras kepada kekuatan politik Melayu Islam.
Katanya, misi UMNO adalah menguasai semula kerajaan melalui Barisan Nasional (BN) dengan kerjasama PAS, dan tiada siapa dapat dan patut menghalangnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa sejak merdeka UMNO bukan hanya parti dominan Melayu tetapi merupakan parti dominan dalam BN yang dapat berfungsi dengan baik sebagai sebuah gabungan bersama MCA dan MIC.
“Pemimpin parti BN yang kalah dalam PRU pun sering dilantik dalam pelbagai jawatan berkepentingan awam demi keterangkuman yang UMNO dan BN perjuangkan.
“Semua ini bukti bahawa sekali pun UMNO dominan dan menjadi parti tunggak, ia tidak pernah menafikan kepentingan parti-parti lain dalam BN.
“Malah, dengan kekuatan UMNO lah, parti-parti komponen BN yang lain turut diterima, menjadi kuat dan mempunyai perwakilan dalam kerajaan,” katanya. SoraTibi
You must be logged in to post a comment.