Alvin Goh, Addy Kanna ditahan ikut POCA selama 2 tahun
Kuala Lumpur: Dalang utama kegiatan perjudian dalam talian, Alvin Goh dan Addy Kanna, bersama dua lagi anggota polis ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) selama dua tahun.
Alvin atau nama sebenarnya Goh Leong Yeong, akan ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor bersama seorang lagi anggota polis.
Addy Kanna pula ditahan di Penjara Pokok Sena, Kedah manakala seorang lagi anggota polis dari Kontinjen Selangor ditahan di Penjara Bentong, Pahang.
Semua hukuman tahanan selama dua tahun itu diputuskan Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ), Kementerian Dalam Negeri, Jumaat lalu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
Terdahulu, Alvin dan Addy ditahan pada 2 dan 3 Oktober lalu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didapati menjalankan aktiviti penipuan Macau Scam dan judi dalam talian yang mensasarkan mangsa di China dan bekerjasama dengan kartel penipuan di luar negara.
SPRM turut menahan dan soal siasat beberapa selebriti terkenal, pegawai dan anggota polis yang melindungi sindiket ini.