Sudah sampai masanya Malaysia bangunkan vaksin sendiri – PPIM

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak agar kerajaan berusaha ke arah melaksanakan kajian dan pembangunan dalam menghasilkan vaksin sendiri yang mungkin lebih diyakini oleh masyarakat dari segi aspek penggunaannya.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, perkara itu juga adalah jalan bagi menyelesaikan kemelut isu yang membabitkan umat Islam bukan sahaja ketika membincangkan vaksin bagi COVID-19 tetapi juga membabitkan masalah dalam kalangan jemaah haji dan umrah yang perlu mendapatkan suntikan berkenan.
“Umat Islam khususnya, juga terpaksa berhadapan dengan keadaan darurat apabila terpaksa divaksinasi dengan vaksin yang mempunyai unsur-unsur haram setiap kali menunaikan Haji dan Umrah.
“Walaupun diharuskan pengambilannya oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, kita perlu peka dan bertanya sampai bila kita harus bergantung kepada keputusan fatwa ini sedangkan kita mempunyai kemampuan dari segi kepakaran dan kewangan yang cukup untuk membangunkan vaksin, khususnya vaksin halal.
“Setakat ini Malaysia mengimpot sepenuhnya keperluan vaksin negara yang sudah tentunya menelan belanja berbillion-billion ringgit,“ kata kenyataan tersebut.
Justeru PPIM menggesa agar diwujudkan satu agensi khas yang bertindak sebagai badan atau organisasi bagi tujuan pembangunan vaksin memandangkan ancaman wabak yang semakin membimbangkan.
“Sehingga kini, negara masih lagi belum mempunyai pusat atau mana-mana agensi yang menjurus ke arah penghasilan vaksin berikutan ketiadaan infrastruktur yang diperlukan, walaupun negara mempunyai sejumlah pakar vaksin yang berkelayakan, “ kata kenyataan itu lagi.
Tambah PPIM, ia jelasnya berbeza dengan keadaan negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand yang sudah pun memperkasakan kepakaran, kemudahan dan keupayaan mereka untuk menghasilkan vaksin sendiri.
“Dan kita yakin Malaysia mempunyai beberapa kelebihan dari segi kemudahan infrastruktur, pakar-pakar dan kewangan yang kukuh,” ujar PPIM.

Saintis Islam Hasilkan Vaksin Covid-19

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker