Lelaki 130 tahun, bayi 4 tahun maut akibat Covid-19

Terkini di My KMU !!!!---->

SEORANG lelaki berusia 130 tahun dan seorang kanak-kanak berusia empat tahun antara empat mangsa yang maut akibat Covid-19 hari ini. Kesemua kes berlaku di Sabah.

Lelaki berusia 130 tahun itu meninggal dunia di Hospital Tuaran dan bayi wanita berusia empat tahun pula meninggal dunia di Hospital Tawau. Kedua-dua mereka bukan warganegara Malaysia.

Sementara dua kematian dilaporkan di Hospital Duchess of Kent meibatkan lelaki berusia 84 tahun dan wanita berusia 60 tahun.

Jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 354 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Sabah masih menjadi negeri penyumbang tertinggi kes harian Covid-19 iaitu sebanyak 476 kes atau 36.2 peratus.

Selangor merupakan negeri kedua tertinggi kes baharu Covid-19 iaitu sebanyak 266 kes dan Kuala Lumpur sebanyak 191.

Keseluruhan sebanyak 1,315 kes baharu dilaporkan dengan lima (5) kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,310 kes adalah merupakan penularan COVID-19 dalam negara.

Sebanyak 112 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster PTS Sibuga (99 kes), Kluster Tembok (8 kes), Kluster Penjara Reman (2 kes), Kluster Rumah Merah (2 kes) dan Kluster Penjara Kepayan (1 kes).

Dr. Noor Hisham berkata, terdapat enam kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu Kluster PTS Sibuga, Kluster Tapak Bina Jesselton, Kluster Dermaga, Kluster Tempasuk, Kluster UD SS2 dan Kluster Tapak Bina Awan Baru.

Kluster PTS Sibuga melibatkan daerah Sandakan, Sabah. Kes indeks (iaitu kes ke-35885) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 5 November hasil saringan individu bergejala.

Sehingga hari ini sejumlah 324 individu telah disaring di mana 104 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Kluster Tapak Bina Jesselton melibatkan daerah Kota Kinabalu, Sabah. Kes-kes bagi kluster ini dilaporkan positif COVID-19 pada hari ini hasil saringan di tempat kerja.

Sejumlah 181 individu telah disaring di mana 44 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Kluster Dermaga melibatkan daerah Sandakan, Sabah. Kes indeks (iaitu kes ke-25325) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 24 Oktober 2020 hasil saringan individu bergejala.

Sehingga hari ini sejumlah 297 individu telah disaring, di mana 34 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Kluster Tempasuk melibatkan daerah Kota Belud, Sabah. Kes indeks (iaitu kes ke-56849) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 24 November 2020 melalui saringan individu bergejala.

Sehingga hari ini sejumlah 149 individu telah disaring di mana 12 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Kluster UD SS2 melibatkan daerah Petaling, Selangor. Kes indeks (iaitu kes ke-61360) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 27 November 2020 hasil saringan individu bergejala.

Sehingga 28 November sejumlah 40 individu telah disaring di mana 13 kes telah dikesan positif COVID-19.

Kluster Tapak Bina Awan Baru melibatkan daerah Kepong dan Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kes-kes dalam kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 pada 28 November melalui saringan bersasar ke atas pekerja-pekerja di sebuah tapak pembinaan.

Sehingga hari ini sejumlah 442 individu telah disaring di mana 31 kes telah dikesan positif COVID-19.

“Sehingga hari ini terdapat sebanyak 355 kluster telah dilaporkan termasuk enam kluster baharu yang dilaporkan pada hari ini.

“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 175 kluster termasuk dua kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Menara dan Kluster Simera.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 180 kluster,” kata Dr. Noor Hisham.-SM

Leave a Reply