Tolong jangan tuduh saya bukan-bukan – Azhar

Sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 Kementerian Kewangan hari ini kecoh apabila Ahli Parlimen pembangkang berkali-kali mengganggu ucapan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tindakan segelintir wakil rakyat terbabit menyebabkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun terpaksa mematikan mikrofon beberapa kali sebelum meminta Menteri Kewangan meneruskan ucapannya.

Azhar juga terpaksa meninggikan suaranya beberapa kali meminta Ahli Parlimen berkenaan supaya tidak mencelah tanpa kebenaran.

Bagaimanapun celahan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) mempertikaikan Azhar kerana gagal mengawal Ahli Parlimen penyokong kerajaan mengundang kemarahannya.



“Saya benarkan kamu mencelah tak ada satu pun saya halang. Jangan tuduh saya yang bukan-bukan. Tolong jangan tuduh saya yang bukan-bukan.

“Apabila sesuatu perkara itu salah, saya akan tegur, tak kira siapa pun,” tegasnya sebelum meminta Tengku Zafrul menyambung ucapan penggulungan.

Terdahulu, Nik Nazmi meminta Azhar supaya mengawal tingkah laku Ahli Parlimen penyokong kerajaan yang didakwanya sengaja mengganggu celahan wakil rakyat blok pembangkang.

Belum pun sempat reda situasi itu, celahan tanpa henti Khalid Samad (PH-Shah Alam) yang bertalu-talu mendakwa Menteri Kewangan tidak berlaku adil terutama dalam libat urus bersama wakil rakyat pembangkang, sekali lagi mengundang teguran Azhar.



“Ini kelakuan memalukan, kita sedang berbahas bajet dan ini perangai kita yang rakyat nampak pada kita semua,” katanya.

Bagaimanapun, kekecohan itu terus berlarutan sehingga tamat ucapan penggulungan Tengku Zafrul. BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker