Nenek 100 Tahun Mati Terkejut Ketika Cuba Dirogol

NEW DELHI – Seorang lelaki di India dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana mengakibatkan kematian seorang wanita berusia 100 tahun ketika dia cuba merogol mangsa.

Ankit Punia yang berusia dalam lingkungan 30-an, me­lakukan perbuatan keji itu ketika mabuk. Dia memecah masuk ke rumah nenek tersebut yang juga jirannya lalu cuba merogol mangs­a.

SEORANG nenek berusia 100 tahun mati kerana terkejut dalam cubaan rogol pada 2017. – Gambar hiasan (Getty Images)

Wanita itu meninggal dunia sehari kemudian di sebuah hospital tempatan.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa memang mempunyai masalah kesihatan tetapi punca kematian disebabkan terlalu terkejut dengan serangan seksual yang cuba dilakukan terhadapnya.

Mahkamah di Meerut, Uttar Pradesh menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Ankit pada Jumaat lalu.

Akhbar tempatan The Hindu melaporkan bahawa jenayah tersebut berlaku pada 29 Oktober 2017 di sebuah kampung di Raghunathpur.

Peguam bela Punia merayu agar hukuman diringankan de­ngan alasan plaintif sengaja memfailkan kes tersebut bagi mengelak membayar hutang kepada anak guamnya.

Keluarga mangsa didakwa berhutang 98,889 rupee (RM5,454) dengan Punia dan berharap kes itu dapat membantu melupuskan hutang lapuk tersebut di samping mendapat pampasan daripada kerajaan.

Pihak mahkamah bagaimanapun menolak permohonan itu.

“Tiada motif lain. Tertuduh hanya mabuk dan tidak mampu mengawal nafsu.

“Ia sama seperti melakukan serangan seksual terhadap bayi atau kanak-kanak,” tegas kenya­taan mahkamah berkenaan tentang kes tersebut.

Mahkamah sama juga menyelar perbuatan Punia sebagai keji dan hukuman ringan akan memberikan mesej yang salah kepada masyarakat. – Agensi

Tukang masak tak mengaku rogol nenek 20 cucu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker