Guru agama didenda RM2,500 buat hantaran palsu ‘balai polis ditutup’
SUNGAI PETANI – Seorang guru agama didenda RM2,500 oleh Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini selepas mengaku salah membuat hantaran palsu tentang penutupan Balai Polis Sungai Petani, bulan lalu.
Mohd Faiz Basri, 28, yang mengajar Sains dan Tasawuf Islam di sebuah sekolah agama di Merbok, Kedah membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu telah menggunakan perkhidmatan aplikasi iaitu Facebook secara sedar, membuat dan memulakan hantaran palsu.
Dia didapati membuat hantaran ‘Balai Polis Sungai Petani ditutup sementara ekoran 32 kakitangan disaring dan kini sedang dikuarantinkan-SP Today’ dan ‘Kemaskini Balai Polis Sungai Petani ditutup sementara untuk sanitasi ekoran 32 orang iaitu 18 pegawai polis dan staf serta 14 banduan disaring dan kini sedang dikuarantinkan-SP Today’ dengan niat mengganggu orang lain.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 3.28 petang di Taman Lembah Bujang Indah, Merbok pada 5 Oktober 2020.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Galvin Loo Wei Ming manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Letak kamera dalam tandas asrama pekerja, pelajar didenda RM2,500
Disebabkan itu, dia telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Mohd Faiz bagaimanapun merayu agar hukuman ringan dijatuhkan berikutan pendapatannya dikurangkan kira-kira RM500 kerana bergantung sepenuhnya kepada bayaran yuran pelajar.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara Merbok itu turut menyara isteri yang tidak bekerja dan dua anaknya berusia dua dan tiga tahun.
Dalam pada itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berikutan kesalahan yang dilakukan iaitu maklumat penutupan balai polis adalah serius sedangkan ia tidak berlaku dan telah mendatangkan kebimbangan kepada orang awam dan mengganggu tugas anggota polis sebagai barisan hadapan dalam usaha menyekat penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 dan penjara dua bulan jika gagal membayar denda selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh sebagai faktor meringankan hukuman.
Azman turut meminta agar tertuduh lebih berhati-hati dengan membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat komen atau hantaran sebarang maklumat yang tidak ditentukan kesahihannya kerana boleh memberi implikasi besar dalam masyarakat.
Polis bongkar kegiatan petani raih RM60,000 sebulan menjual ketum
You must be logged in to post a comment.