PH Sarawak capai kata sepakat elak bertembung kerusi PRN

Pakatan Harapan Sarawak mencapai persetujuan antara parti komponen mengenai pembahagian kerusi untuk pilihan raya negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Walaupun telah mengagihkan semua 82 kerusi, PH negeri berkata pihaknya terbuka untuk berkerjasama dengan parti pembangkang lain asalkan mereka “berwibawa dan tulen.”

Belum ada lagi tarikh pilihan raya negeri, tetapi penggal kerajaan Sarawak akan berakhir pada 6 Jun. Ini bermakna pilihan raya mesti diadakan selewat-lewatnya pada 20 Ogos 2021.

Pada sidang media di Kuching pagi ini, ketiga-tiga pengerusi parti Sarawak – Larry Sng (PKR), Chong Chieng Jeng (DAP) dan Abang Halil Abang Nalli (Amanah) – menandatangani dokumen yang menyenaraikan pembahagian kerusi.

“Saya rasa ini permulaan yang baik untuk tahun baru.

“Tahun baru (dengan) permulaan baru. Ini adalah kali pertama kita dapat mencapai persetujuan ini sebelum pembubaran (dewan undangan negeri) atau bahkan pencalonan,” kata Chong.

Sng berharap kesepakatan itu dapat mengelakkan “kekeliruan dan rasa tidak senang” pada saat-saat akhir, terutama di kalangan akar umbi. Sementara itu, Abang Halil berkata dia berpuas hati dengan bahagian kerusi yang diterima oleh partinya.

Majlis ini disiarkan secara langsung di Facebook.

Senarai berkenaan tidak menunjukkan pertembungan antara ketiga-tiga parti PH itu – dengan PKR bertanding 47 kerusi, DAP bertanding 26 dan Amanah bertanding sembilan kerusi.

Semasa PRN Sarawak 2016, PKR dan DAP walaupun sekutu bertanding sesama sendiri di enam kerusi DUN iaitu di Batu Kitang, Mulu, Murum, Simaggang, Ngemah dan Mambong.

Chong menolak kemungkinan sejarah berulang.

“Itu sudah jadi sejarah […]

“(Daftar senarai ini) cukup jelas dan kami sangat telus mengenai siapa yang akan bertanding di kerusi mana,” katanya ketika ditanya mengenai apakah pertembungan ini dapat diselesaikan hari ini.

Perjanjian ini menyaksikan enam kerusi dibahagi sama rata antara kedua-dua parti dengan DAP bertanding di Batu Kitang, Mambong dan Simanggang manakala PKR akan bertanding Mulu, Murum dan Ngemah.

PKR juga akan bertanding Ba’Kelalan. Kerusi itu kini dipegang oleh Baru Bian – yang keluar PKR tahun lalu untuk menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Ditanya jika PH terbuka untuk bekerjasama dengan PSB melawan parti pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS), Chong berkata “selalu ada ruang” untuk kesepakatan tertentu.

“Kami akan bekerjasama dengan pembangkang yang berwibawa dan tulen sehingga dapat meningkatkan peluang untuk mengubah kerajaan.

“Tetapi kriteria yang kami tekankan adalah (mereka mestilah) pembangkang yang berwibawa dan tulen,” jawabnya, tanpa menyebut PSB.

Dengan semua kerusi yang ada sudah diperuntukkan, jika PH bekerjasama dengan pihak seperti PSB maka ia boleh mengakibatkan pertembungan dengan parti-parti dalam gabungan itu.

Chong yang juga pengerusi PH Sarawak sebelum ini memberitahu Malaysiakini dia telah mengadakan perbincangan dengan PSB selama beberapa bulan terakhir.

PSB kini diketuai oleh Adun Bawang Assan selama enam penggal, Wong Soon Koh. Kerusi itu diberikan kepada DAP berdasarkan perjanjian terbaru PH.

Wong sebelum ini memegang dua portfolio dalam kabinet GPS tetapi melepaskan jawatannya setelah menuduh gabungan itu memusuhi partinya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker