Noor Hisham : Dakwaan hospital pedalaman Sabah kurang PPE berita palsu

Satu laporan yang mendakwa terdapat kekurangan bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) di hospital pendalaman di Sabah merupakan berita palsu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Saya tidak tahu dari mana khabar angin ini datang, hospital mana yang kurang (PPE), tiada nama (hospital didedahkan), mungkin itu cuma berita palsu.

“Kenapa tidak rujuk kepada Jabatan Kesihatan Sabah dan kemudian baru rujuk kepada kita, baru kita boleh beritahu dari segi pengawasan kita, khususnya terhadap penggunaan PPE di kawasan tersebut termasuk semua negeri,” katanya.

Noor Hisham berkata demikian dalam sidang media harian berkenaan perkembangan Covid-19 di kementerian kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya hari ini.



Dia turut mengulangi kenyataan Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Christina Rundi bahawa pihak kementerian sudah memantau keadaan hospital dan klinik di Sabah dan tiada kekurangan PPE.

Noor Hisham menambah, bekalan PPE yang ada sekarang boleh digunakan oleh petugas kesihatan untuk tempoh 29 hari lagi.

Dia juga berkata kementerian memperuntukkan RM25 juta untuk bekalan PPE selepas mengambil kira keadaan jangka panjang.

Selain itu, katanya lagi, persedian untuk berdepan situasi di Sabah telah dibuat sebelum PRN diadakan dengan kerjasama tentera dan polis untuk mengetatkan kawalan sempadan.



Mereka juga telah mengerakkan peralatan kesihatan dan tenaga kerja di hospital Sabah sebelum PRN, katanya lagi.

Jelas Noor Hisham, antara langkah yang diambil ialah naik taraf bilik bedah dan juga bilik ventilator baru untuk merawat pesakit Covid-19.

Disebabkan itu, katanya, pesakit tidak perlu lagi dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan.

“Ia dipasang lebih awal, bukan semalaman kita dapatkan bilik bedah dan bilik ventilator baru.



“Jadi saya tak lihat mana kurangnya,” katanya lagi.

Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 8,539 katil di Sabah yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19.

Daripada jumlah itu, 1,111 buah adalah di sembilan hospital yang dikhaskan untuk rawatan wabak itu, manakala 7,428 buah lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Sementara itu, terdapat 149 katil di unit rawatan rapi (ICU) termasuk untuk pesakit bukan Covid-19, dengan 60 peratus daripadanya sedang digunakan.



Dari jumlah itu, 130 buah dikhaskan buat pesakit Covid-19.

Terdapat 193 ventilator yang tersedia dan kini 27 peratus digunakan, termasuk untuk kes bukan Covid-19. Mk

Petugas hospital di pedalaman Sabah dakwa peralatan tidak mencukupi



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker