Muhyiddin perlu cari jalan selesaikan pertelingkahan

Share

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu berbincang dengan para pemimpin UMNO bagi menyelesaikan pertelingkahan antara mereka untuk mengelakkan negara terjerumus dalam kemelut politik yang boleh membawa kepada memusnahkan dan kehancuran.

Penganalisis politik daripada Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, negara sedang bergelut dengan isu lebih besar membabitkan aspek ekonomi dan keselamatan.

“Sekarang ada dua situasi… iaitu isu keselamatan Covid-19 dan isu kebebasan yang mana ahli politik masih nak berpolitik kerana kebebasan itu dijamin dalam demokrasi.

“Namun, antara dua situasi itu, kita perlu utamakan keselamatan kerana ia melibatkan kepentingan masyarakat.

“Pada masa inilah, ahli politik perlu memikirkan sumbangan terbaik mereka dalam mengutamakan kepentingan rakyat iaitu gencatan politik dan PKP politik,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Strategi UMNO atau peluru makan diri?

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain masyarakat, ahli politik dituntut memainkan peranan bagi meredakan ketegangan dengan tidak berpolitik secara melampau agar tidak memperjudikan keselamatan negara.

Menurutnya, meskipun kerajaan bertukar kepimpinan, ia tidak memberi jaminan bahawa situasi politik akan kembali stabil sebaliknya negara akan terus berhadapan krisis yang sama.

Berhubung tindakan UMNO mengemukakan syarat baharu kepada kerajaan, beliau berpandangan, parti itu berhak berbuat demikian kerana mempunyai kerusi lebih banyak dalam kalangan parti gabungan kerajaan PN.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib berkata, semua parti politik perlu menghentikan sebarang tindakan politik tidak produktif pada masa ini. “Buat masa ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu buat apa-apa.

Di Parlimen mungkin tidak akan berlaku undi tidak percaya kerana ketika ini, negara berada dalam kegawatan yang mengancam keselamatan.

“Yang di-Pertuan Agong telah meletakkan bahawa kepentingan negara harus diutamakan,” katanya.

Muhyiddin tidak selamat

Sementara itu, penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, berdasarkan pemerhatian di media-media sosial dilihat masyarakat mula muak dengan gelagat ahli-ahli politik di Malaysia.

“Kebanyakan pengguna media sosial menyuarakan kemarahan dan kekesalan dalam kancah politik negara pada hari ini.

“Ini kerana mereka melihat ini permainan ahli politik semata-mata dan tidak melibatkan rakyat, kerana rakyat hanya dapat memberikan mandat mereka pada pilihan raya sahaja tetapi pilihan raya pada ketika ini tidak sesuai diadakan,” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi UiTM berkata, ahli politik seolah-olah sudah hilang fokus dan lebih bersifat individualistik serta berkepentingan peribadi dan parti daripada menunaikan tanggungjawab hakiki mereka iaitu memperjuangkan rakyat terutama apabila berlaku Covid-19 dan krisis kemanusiaan.

“Dicadangkan agar ahli politik ini berikan pendedahan mengenai peranan sebenar mereka sebagai ahli politik kerana mereka harus sedar akan tanggungjawab sebenar mereka,” ujar beliau.

Muhyiddin akan terus dibayangi Mahathir – penganalisis

Leave a Reply