Realiti buat Anwar dan UMNO

BEBERAPA hari lepas, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembahkan bukti beliau mempunyai sokongan yang mencukupi untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berdasarkan kenyataan Anwar, Istana Negara dan laporan media, jelas Anwar tidak membuktikan beliau mempunyai sokongan individu setiap ahli Parlimen. Sebaliknya, beliau mempersembahkan komitmen pemimpin-pemimpin parti politik mengenai jumlah ahli Parlimen yang akan menyokongnya.

Dalam konteks ini tuntutan Anwar tidak cukup kuat, malah tidak ada merit langsung dalam Perlembagaan Persekutuan.



Ini kerana Perkara 43 (2) (a) menetapkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Memang Mahathir letak jawatan kerana tidak mahu beri jawatan PM kepada Anwar

Fasal ini hanya terpakai ketika wujud kekosongan jawatan Perdana Menteri seperti mana ketika malam selepas keputusan Pilihan Raya Umum atau ketika Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan pada Februari lalu.



Bagaimanapun, dalam kes Anwar sekarang, jawatan Perdana Menteri tidak kosong. Justeru, sebelum pelantikan baharu dibuat, Seri Paduka Baginda mesti memastikan Perkara 43 (4) Perlembagaan dipenuh terlebih dahulu, iaitu “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.”

Dalam keadaan ini kedudukan Muhyiddin langsung tidak terjejas. Tuanku tidak mempunyai kuasa Perlembagaan untuk meminta Muhyiddin mengosongkan jawatan kerana belum dibuktikan beliau hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Dalam kebimbangan rakyat akan berlaku PRU kerana tindakan Anwar, Biro Politik UMNO turut mengumumkan keputusan untuk mengkaji semula kedudukan parti dalam kerajaan Perikatan Nasional sekiranya beberapa permintaan mereka tidak dipenuhi.

Ke mana hala tuju UMNO selepas 13 Oktober?



Kenyataan ini tanpa penerangan jelas kepada umum telah menyebabkan timbul persepsi ia adalah sebahagian gerakan rakus UMNO ketika Muhyiddin sedang diasak oleh Anwar. Dalam keadaan biasa rakyat mungkin boleh menerima situasi ini sebagai sepak terajang politik.

Tindakan menggentingkan situasi politik negara ketika rakyat masih lagi trauma dengan peningkatan kes Covid-19 pasca-Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah memburukkan imej UMNO.

Walaupun keputusan ini agak popular dalam parti namun ia dicemuh dan dipandang sinis oleh rakyat biasa. UMNO sedang dilabel sebagai parti yang tidak lagi mementingkan rakyat dan tenggelam dalam kerakusan kuasa.



Kepentingan

Tidak salah UMNO meninggalkan kerajaan jika ia membabitkan kepentingan rakyat atau parti. Namun naratif harus sampai dan mampu menarik sokongan rakyat.

UMNO perlu sedar kemarahan rakyat terhadap Anwar kini berubah kepada mereka kerana dilihat sebagai punca ketidakstabilan politik masa kini. UMNO dilihat secara langsung dan tidak langsung telah menyokong usaha Anwar menjatuhkan Perdana Menteri dan mungkin mengakibatkan PRU ketika rakyat bergelut dengan Covid-19.

Justeru, apa sahaja permintaan dan perbincangan dalam Mesyuarat Majis Tertinggi (MT) parti tersebut Selasa ini, ia harus dalam keadaan menjaga maruah dan kestabilan politik. UMNO tidak boleh berpatah balik sesuka hati. Kegopohan Biro Politik mengumumkan tuntutan menyebabkan harus ada sesuatu dicapai daripada krisis ini; atau UMNO akan dilihat parti ‘yang bercawat ekor’.



Kedua, UMNO seharusnya mencari jalan untuk tidak menjatuhkan kerajaan ini pada ketika pandemik Covid-19 masih membara.

Tuntutan yang dibuat tidak boleh sesuatu yang tidak munasabah dan menambah kebencian rakyat kepada parti.

Apa pun keputusan Majlis Tertinggi UMNO nanti, sesuatu yang perlu mereka fahami ialah rakyat memerhati dan akan menghakimi mereka.

Dalam keadaan rakyat sedang sengsara dan susah, mereka menjadi lebih sinis dan nihilis. Jangan sampai menang sorak, kampung tergadai.



*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker