Ke mana hala tuju UMNO selepas 13 Oktober?

Share

HARI ini adalah kemuncak debaran penantian rakyat Malaysia sama ada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar berjaya menuju ke puncak kuasa atau mengulangi amalan skrip gimik politik lama.

Tumpuan penduduk dari Johor, Kedah hingga ke Sabah pastinya terarah kepada keputusan hasil pertemuan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Di sebalik perasaan meluat rakyat terhadap amalan percaturan elit politik masih berleluasa pada saat gelombang ketiga koronavirus (Covid-19) semakin mengganas, mereka sebenarnya masih berteka-teki sama ada hayat kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal berakhir atau sebaliknya, hanya selepas lebih tujuh bulan mentadbir negara.

Menariknya, kemaraan Anwar ke Istana Negara itu turut dikaitkan dengan dakwaan sabotaj apabila polis difahamkan bakal memanggil 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokong Ahli Parlimen Port Dickson itu untuk disoal siasat pada pagi hari yang sama.

Muhyiddin tidak selamat

Bahkan, keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya bermula 14 Oktober ini turut dikaitkan kononnya sebagai sebahagian usaha menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri.

Selain fokus rakyat terhadap kemungkinan penubuhan kerajaan baharu, golongan pengundi terutama masyarakat Melayu juga ingin melihat sama ada kesemua 39 Ahli Parlimen UMNO benar-benar menolak sokongan kepada pemimpin itu atau sebaliknya.

Bermula dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui tidak dapat menghalang ahli-ahli Parlimen parti itu menyokong Anwar diikuti dengan penafian mereka yang terkait polemik itu, ‘Langkah Anwar’ secara tidak langsung dilihat semakin menghakis defisit kepercayaan akar umbi dan rakyat terhadap parti itu.

Pesona jawatan

Hal ini diakui cendekiawan sains politik, Dr Chandra Muzaffar yang melihat gerakan politik terbaru Anwar itu berkemungkinan akan memecahbelahkan UMNO pada masa hadapan.

“Apabila Anwar mendedahkan sokongan ahli Parlimen yang diterimanya adalah berbentuk individu dan bukan secara en bloc, senario itu menunjukkan dominasi Ahmad Zahid sebagai presiden atau ‘pelindung’ kepada parti itu semakin terhakis, sekiranya benar ada Ahli Parlimen UMNO terlibat.

“Faktor terhakisnya dominasi Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga susulan mereka terlibat dan disabitkan kes mahkamah. Ahli-ahli Parlimen UMNO mungkin berasakan ‘pelindung’ mereka sudah kurang upaya menjamin kedudukan politik masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pandangan sama dipersetujui seorang pemimpin veteran UMNO yang menyifatkan ahli Parlimen parti itu ketika ini jelas bersedia menggunakan apa jua cara bagi memperkuatkan kumpulan politik masing-masing susulan UMNO kini dikatakan terpecah kepada empat kumpulan.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman berkata, dakwaan Ahli Parlimen UMNO menyokong Anwar ada asasnya kerana mereka yang tidak memiliki jawatan dan terpalit dengan pendakwaan kes mahkamah mungkin akan terpesona dengan tawaran bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Anwar menghadap Agong: Ini mungkin situasi yang akan berlaku hari ini

“Dengan akar umbi UMNO kini mempersoalkan pucuk kepimpinan parti kerana seolah-olah dibuli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berkemungkinan akan muncul satu kebangkitan baharu UMNO yang menuntut perubahan di peringkat kepimpinan tertinggi.

“Saya fikir gerakan itu akan dipacu pemimpin UMNO yang bersih dan bebas kes mahkamah seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin, sama ada ‘Langkah Anwar’ berjaya atau tidak kelak.

“Kalau sekiranya tidak berlaku pemutihan UMNO di peringkat kepimpinan parti, UMNO pastinya akan kalah lebih teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan akar umbi sendiri hilang kepercayaan terhadap parti itu,” katanya.

Ditelan

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpandangan 39 ahli Parlimen UMNO disebut-sebut akan menyokong ‘Langkah Anwar’ secara konsensus, termasuk pimpinan yang menyertai Kabinet kerajaan PN sekiranya langkah itu menjadi kenyataan.

“Jika ia berlaku, UMNO masih akan terus kekal sebagai sebuah parti dan akhirnya memberi sokongan kepada Anwar dengan kesannya pergolakan dalaman parti itu akan semakin parah sehingga pembubaran Parlimen berlaku,” ujarnya.

Selain teka-teki hala tuju UMNO, sekiranya ‘Langkah Anwar’ tidak menjadi realiti, kredibiliti Anwar sebagai calon Perdana Menteri pastinya akan dipertikaikan, namun ia masih tidak menjamin keutuhan kerajaan Muhyiddin untuk kekal bertahan sekurang-kurangnya sehingga Belanjawan 2021 diluluskan Parlimen.

Di bawah demokrasi berparlimen, kerajaan dianggap jatuh apabila usul Belanjawan Negara ditolak dalam sidang Parlimen, sama seperti usul undi tidak percaya kepimpinan Perdana Menteri.

“Ada banyak usul perlu diluluskan dalam tempoh lima minggu Dewan Rakyat membahaskan usul Belanjawan, dari 9 November sehingga 10 Disember ini.

Anwar akan hadap Agong 11 pagi, kata sumber

“Jika terdapat sekurang-kurangnya lima ahli Parlimen kerajaan ponteng, sama ada secara kebetulan atau tidak sihat, usul Belanjawan 2021 mungkin gagal diluluskan.

“Situasi itu juga boleh mengakibatkan kerajaan Muhyiddin jatuh,” kata saintis politik, Profesor Dr Wong Chin Huat.

Satu lagi situasi menarik dikemukakan Chin Huat adalah kedudukan Muhyiddin tidak akan menjadi lebih kuat secara automatik sekiranya rancangan politik Anwar sekali lagi gagal.

Beliau berpandangan persaingan politik antara UMNO dan Bersatu akan menjadi lebih sengit selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan Bersatu secara terang-terangan dilihat cuba ‘menelan’ parti itu.

“Terdapat dua keadaan mampu menyelamatkan kedudukan Muhyiddin dan kerajaan PN iaitu yang pertama, beliau perlu mengembalikan sokongan rakyat dengan cara mengetepikan amalan dua darjat yang menjadi kemarahan rakyat ketika ini.

“Kedua, sekiranya Muhyiddin sudi mencapai perjanjian ‘kepercayaan dan belanjawan’ dengan pihak pembangkang bagi membolehkan kerajaan melibatkan pembangkang dalam menggubal dasar baharu di Parlimen, maka undi tidak percaya tidak akan dikemukakan pihak pembangkang.

“Penyelesaian ini memastikan kestabilan kerajaan Muhyiddin terjamin hingga tahun 2023,” katanya.

13 Oktober, tragedi atau kejayaan untuk Anwar?

One thought on “Ke mana hala tuju UMNO selepas 13 Oktober?

  • October 13, 2020 at 15:29
    Permalink

    UMNO sepatutnya mencontohi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump seperti motto dan kempen yang selalu disebut2 “Make America Great Again”. Beliau merasakan AS terlalu “berlembut” dalam isu2 hubungan dengan sekutu rapat, ekonomi, imigran dan beberapa isu lagi. Beliau telah memulakan beberapa langkah untuk menjadikan AS hebat seperti masa yang lalu. Begitu juga Persekutuan Rusia juga mengambil beberapa langkah untuk menjadikan Rusia digeruni seperti zaman Soviet Union dahulu. UMNO perlu ada matlamat untuk jadikan UMNO hebat seperti dahulu.

    Reply

Leave a Reply